Jalan menuju ke Pasar Nelayan ABF sehingga Taman Tumbina akan ditutup pada 21 Julai

BINTULU: Jalan menuju ke Pasar Nelayan ABF sehingga Taman Tumbina akan ditutup kepada semua jenis kenderaan bersempena Larian Hari Sarawak yang akan berlangsung pada 21 Julai ini.

Lembaga Kemajuan Bintulu(BDA) dalam kenyataannya memberitahu penutupan sementara jalan bagi acara larian itu akan bermula 4.30 pagi dan dijangka tamat pada 9 pagi.

Sementara itu, lebih 2,000 peserta tempatan dan luar negara mengesahkan penyertaan dalam Larian Hari Sarawak.

Peserta luar negara yang telah mengesahkan penyertaan dalam acara anjuran kerajaan negeri itu ialah Belgium, Filipina ,Singapura, China, Taiwan , Afrika Selatan, United Kingdom dan Brunei di samping dari Semenanjung Malaysia.

Larian Hari Sarawak terbahagi kepada empat kategori iaitu Larian 5KM,10KM,21KM dan Larian Keluarga(Family Run).

Acara larian akan dimulakan dengan Family Run pada 20 Julai ini, jam 4.30 petang yang mana ia adalah pembuka tirai acara sebelum acara kemuncak pada hari berikutnya 21 Julai.

Pada 21 Julai, acara utama larian 21 kilometer akan dimulakan pada jam 5.15 pagi yang akan disempurnakan oleh Menteri Muda Undang-Undang dan Adat Bumiputera,Datuk John Sikie Tayai disusuli dengan larian acara 10 kilometer dan 5 kilometer masing-masing pada jam 6.00 dan 6.30 pagi.

Majlis penyampaian hadiah dijangka disempurnakan oleh Menteri Utiliti merangkap menteri bertanggungjawab ke atas sambutan Hari Sarawak 2019, Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom.

Selain merupakan sebahagian daripada pengisian sempena sambutan Hari Sarawak 2019, penganjuran larian itu juga sempena kempen Tahun Melawat Sarawak 2019 sekali gus menggalakkan aktiviti sihat serta mempromosi bandar Bintulu sebagai salah satu destinasi pelancongan.

Suara Sarawak