Jalan runtuh sukarkan penduduk Kampung Ukong

LIMBANG: Penduduk Kampung Ukong di sini bimbang dengan keadaan jalan di tebing sungai yang runtuh akibat hakisan ekoran  hujan lebat dan banjir yang beriaku dikawasan tersebut.

Mereka mendakwa hujan lebat dan banjir menyebabkan aliran air Sungai Limbang semakin deras, yang menghakis tebing sungai dan mengakibatkan jalan runtuh.

Seorang penduduk, Wilson Susok, 43, berkata, jalan ke kampungnya yang tidak boleh dilalui oleh kenderaan kini mengundang bahaya kepada pengguna lain, terutamanya pada waktu malam.

“Hakisan semakin teruk sehinggakan jalan ini tidak boleh dilalui oleh kenderaan kerana dikhuatiri akan terjatuh ke dalam sungai. “Sebelum ini ada berlaku runtuhan kecil, tetapi kali ini lebih teruk kerana banyak parit pecah dan jalan di tebing sungai juga runtuh.

“Kami meletakkan kenderaan kami di luar simpang kampung dan terpaksa berjalan kaki hampir satu kilometer untuk ke kampung,” katanya kepada Suara Sarawak semalam.

Wilson berkata, jalan tersebut juga dilalui oleh penduduk untuk ke kebun. “Ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada pendapatan penduduk kerana hampir semua penduduk di sini bergantung kepada hasil pertanian.

“Februari dan Mac depan merupakan musim buah, namun penduduk sukar membawa keluar hasil tersebut untuk dipasarkan di bandar. “Jika masalah ini tidak ditangani dengan segera, ia akan menyebabkan kerugian yang besar dan menyusahkan penduduk setempat,” ujarnya.

Sehubungan itu, Wilson meminta pihak yang berkaitan untuk tampil memantau keadaan jalan tersebut dan seterusnya menyelesaikan masalah itu.

“Saya berharap masalah ini dapat diatasi dengan segera. Cari kaedah bagi menangani tanah runtuh selepas berlaku hakisan tebing sungai selepas hujan lebat. “Saya sudah berjumpa dengan pihak yang berkenaan supaya membaiki jalan yang runtuh dan masih menunggu maklum balas daripada mereka,” katanya.

Suara Sarawak