Jalan Sarikei Tanjung Manis sedang rancak dibina

SARIKEI: Pembinaan jalan raya Sarikei-Tanjung Manis dan Jambatan Rajang adalah sebahagian daripada komponen pelengkap jalan pesisir yang memperlihatkan komitmen kerajaan Sarawak membawa kemajuan kepada rakyat, terutama di pedalaman dan luar bandar.

ADUN N.Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, penyediaan projek itu membuktikan kesungguhan kerajaan untuk menyediakan kemudahan terbaik kepada rakyat.

Katanya, kemudahan itu juga dilihat sebagai pelengkap kepada projek Lebuh Raya Pan Borneo yang kini sedang rancak dibina bermula dari Lundu hingga utara Sarawak.

“Sudah pasti projek berimpak tinggi yang menelan kos kira-kira RM300 juta ini menjadi impian dan harapan rakyat khususnya golongan peniaga.

“Kemudahan ini bukan sahaja melonjakkan potensi sektor pertanian tetapi juga ekonomi lain yang memberi manfaat kepada warga Sarikei dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Dato Sri Huang adalah individu yang bersungguh-sungguh mendapatkan kelulusan pembinaan projek berkenaan.

Susulan itu, upacara pecah tanah projek laluan sepanjang 17 kilometer termasuk sebuah jambatan tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 6 April 2019.

“Projek ini sedang rancak dilaksanakan dan dijangka siap tidak lama lagi. Sudah pasti bagi kerajaan GPS, tidak ada apa yang lebih menggembirakan melainkan, kita mampu menunaikan janji dan menyumbangkan sesuatu yang bermanfaat kepada segenap lapisan rakyat.

“Sehubungan itu, saya mewakili seluruh penduduk Sarikei berterima kasih kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg kerana meluluskan pembinaan jalan raya pintas ke Tanjung Manis ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan akan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat seperti menaiktaraf jalan raya dan perparitan, meningkatkan kemudahan asas sekolah, gereja, masjid dan kuil melalui projek RTP DUN N.45 Repok.