SERIAN: Jalan Tangga Bypass, Serian akan ditutup bermula jam 6 pagi sehingga 12 tengah hari sempena hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) esok.
Ketua Polis Daerah Serian Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, penamaan calon bagi Parlimen Serian akan diadakan di Pejabat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian.
Justeru katanya, penutupan jalan tersebut bermula dari simpang Jabatan Pendaftaran Negara, Serian/ Jabatan Bomba hingga Kampung Siantan.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif bagi kelancaran semasa hari penamaan calon PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikah penamaan calon pada 5 November ini sementara hari pengundian PRU-15 pada 19 November.