KUCHING: Seorang lelaki diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam dengan agregat dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana memiliki sebilah kerambit yang dipercayai dijadikan sebagai senjata dalam satu kejadian cubaan menyerang seorang lelaki di hadapan sebuah sekolah menengah di Jalan Kuching-Serian, Jun lalu.
Hakim Jason Juga menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh berusia 20 tahun selepas pendengaran laporan sosial yang dikemukakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat serta penghujahan daripada pihak pendakwaan.
Terdahulu, tertuduh mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958, kerana memiliki sebilah kerambit di tempat awam tanpa maksud yang sah.
Dia melakukan perbuatan itu di tempat menunggu di sebuah sekolah menengah di Jalan Kuching/Serian, sekitar jam 12.20 tengah hari, 22 Jun lalu.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebatan.
Namun demikian, memandangkan tertuduh merupakan pesalah muda, mahkamah menjatuhkan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat selama 200 jam dengan agregat dua tahun berdasarkan Seksyen 293(1)(e)(i) Kanun Tatacara Jenayah.
Menurut fakta kes, semasa kejadian, semasa pengadu menunggu bapanya di luar sekolah selepas tamat sesi persekolahan, dia telah didatangi tertuduh menggunakan motosikal.
Ketika bapa pengadu sampai, tertuduh dilihat mengeluarkan objek menyerupai sebilah pisau daripada beg lalu cuba menikam bapa pengadu.
Menyedari tindakan tertuduh, bapa pengadu terus membaling botol air minuman yang dibawa pengadu ke arah tertuduh.
Tertuduh yang terkejut lalu bertindak melarikan diri. Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut, yang seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada hari yang sama.
Hasil siasatan melalui rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) dan pengecaman barang kes daripada pengadu dan saksi adalah positif.
Selain itu, pihak polis merampas senjata kerambit selepas tertuduh memberitahu tempat menyimpan senjata tersebut selepas kejadian.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurfazlin Mahmad Zulhasnan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.