SIBU: Amalan tadbir urus yang baik berteraskan integriti perlu diterapkan dalam kehidupan seharian setiap individu semasa melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia merupakan tonggak utama dalam pentadbiran serta pengurusan yang baik sekali gus akan memberikan keadilan kepada seluruh masyarakat.
“Bermula dengan pentadbiran masjid dan surau yang penuh integriti, pemimpin-pemimpin tersebut akan dapat menjalankan amanah yang lebih besar seperti menguruskan negeri termasuk negara dengan bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Seminar Integriti Kepimpinan Masjid dan Surau Sarawak Tahun 2021/1443H di Dewan Kompleks Islam Sibu, hari ini.
Justeru, beliau menyeru pihak pengurusan masjid dan surau hendaklah menjalankan tadbir urus dengan penuh bertanggungjawab, termasuk memastikan kawasan surau dan masjid sentiasa bersih serta menjaga kewangan dengan amanah.
“Begitu juga dengan pentadbiran di Sarawak, kita adil terhadap semua masyarakat tanpa mengira agama, tidak bergaduh dan mentadbir negeri dengan baik serta fokus untuk memberikan perkhidmatan terbaik.
“Masa depan orang Islam adalah bergantung kepada kualiti umat itu sendiri. Semoga seminar integriti ini akan memberi lebih kesedaran kepada kita semua dalam mentadbir urus masjid, surau, masyarakat dan seterusnya negeri dengan penuh amanah serta tanggungjawab,” tegasnya.
Turut hadir Menteri Di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip serta Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.