
FOTO:FB
KUCHING: Pelantikan 12 Ahli Parlimen dari negeri ini dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan menunjukkan betapa Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat kepentingan hubungan dengan Sarawak.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah meluahkan rasa terima kasih kerana melantik satu Timbalan Perdana Menteri (TPM), lima menteri penuh dan enam timbalan menteri dari Sarawak.
“Sekarang, tanggungjawab telah diberikan kepada semua menteri dan timbalan menteri yang dilantik untuk memainkan peranan masing-masing.
“Mereka perlu menjalankan tugas dengan sebaiknya, ekoran diberikan kepercayaan untuk menggalas jawatan tersebut,” katanya ketika dihubungi wartawan Suara Sarawak, hari ini.
Sementara, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, pelantikan Ahli Parlimen dari negeri ini merupakan satu pengiktirafan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai rakan kuat Kerajaan Perpaduan.
“Kita berterima kasih kepada PM kerana telah melihat dengan teliti kelayakan yang dilantik serta mengambil kira sumbangan parti yang menubuhkan Kerajaan Perpaduan ini.
“Paling penting, barisan Kabinet dari TPM, menteri penuh dan timbalan menteri harus mempertahankan hak Sarawak dan berkerja keras untuk mengambil semula hak Sarawak.
“Segala yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang nyata mengariskan hak rakyat Sarawak,” katanya.