ARTIKEL

Jalin kerjasama dengan syarikat penerbangan, agensi pelancongan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

LANGKAWI: Tourism Malaysia berhasrat untuk bekerjasama dengan syarikat penerbangan antarabangsa dan agensi pelancongan bagi meningkatkan kadar kemudahan perjalanan udara, kekerapan dan kapasiti tempat duduk ke Malaysia melalui Geran Stimulus Penerbangan Antarabangsa dan Charter (GSPC).

Pengarah Bahagian Promosi Antarabangsa (ASEAN) Tourism Malaysia, Mohd Shahrir Mohd Ali berkata dengan kembalinya acara Tahun Melawat Malaysia 2026, Malaysia berharap lebih banyak syarikat penerbangan memilih negara ini sebagai destinasi pilihan.

“Kita mempunyai banyak tarikan, jadi kami menjangkakan dapat menjalin lebih banyak kerjasama dengan pemain industri, syarikat penerbangan, jenama berpengaruh untuk membawa yang terbaik di negara ini kepada pengunjung,” katanya ketika berucap pada acara Routes Asia Langkawi 2024 Networking Evening di sini.

Beliau berkata Tourism Malaysia memperkenalkan inisiatif geran padanan untuk merangsang perluasan laluan terus dan sewa khas yang baharu ke negara ini.

Tourism Malaysia yang menjadi tuan rumah pada acara Routes Asia Langkawi 2024 Networking Evening, memperkenalkan gastronomi dan budaya Malaysia kepada delegasi antarabangsa dari lebih 60 negara.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Tourism Malaysia menganjurkan bersama Routes Asia Langkawi 2024 yang berlangsung selama tiga hari, menghimpunkan syarikat penerbangan, lapangan terbang dan pemain industri terkemuka dari Asia Pasifik.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU