Jambatan bakal dibina di Batang Lupar

KUCHING: “We will cross the bridge when we come to it” (Kita akan melintasi jambatan ketika kita sampai di sana) secara tersiratnya membawa maksud kita tidak perlu risaukan sesuatu yang belum berlaku sehingga ia benar-benar terjadi.
Secara harfiah dengan mengambil kira isu di Batang Lupar, pembinaan jambatan baharu hanya menjadi kenyataan dalam tempoh lima tahun lagi apabila jambatan sepanjang 7km itu dijangka siap.
Sehingga itu, perkhidmatan feri Triso untuk menyeberang sungai berkenaan akan kekal sebagai penghubung penting di jalan raya kedua Sarawak, yang biasanya disebut sebagai jalan pesisir oleh penduduk tempatan.
Semua langkah yang ada akan ditambah dan dikuatkuasakan dengan tegas serta dipatuhi untuk mencegah berulangnya, tragedi Tahun Baharu yang mengorbankan sembilan nyawa apabila sebuah trak pikap terhumban ke dalam sungai di tebing utara Batang Lupar.
Mengharapkan pengguna feri untuk menjaga keselamatan diri mereka adalah sesuatu yang lebih mudah dikatakan daripada dilakukan. Tidak semua 2.8 juta rakyat Sarawak dilatih dalam aspek keselamatan terutama ketika menaiki feri atau keluar dari feri atau semasa perjalanan, sepertimana yang berlaku pada 1 Jan.
Walau bagaimanapun, pengumuman pada 4 Jan oleh Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur negeri Datuk Julaihi Narawi adalah berita yang dialu-alukan.
Selepas mempengerusikan mesyuarat bagi mempertingkatkan langkah-langkah keselamatan di 12 pangkalan feri di negeri ini dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak serta operator perkhidmatan feri, beliau berkata:
*seorang pegawai (JKR) Sarawak akan ditempatkan di setiap pangkalan feri di seluruh negeri bagi memantau operasi harian.
*hanya pemandu sahaja berada dalam kenderaan manakala penumpang wajib keluar dan duduk di tempat khas yang disediakan.
* setiap penumpang feri akan disediakan jaket keselamatan dan diwajibkan memakai jaket tersebut sepanjang berada di dalam feri.
Beliau juga berkata semua SOP yang ada akan diperketatkan untuk meningkatkan keselamatan penumpang feri dan dalam masa dua minggu, JKR akan menjalankan pemeriksaan di setiap pangkalan feri untuk memastikan peraturan itu dipatuhi.
Tinjauan Bernama mendapati rata-rata penumpang mengabaikan aspek keselamatan. Jaket keselamatan disediakan dalam feri, disimpan dalam plastik tetapi tiada seorang pun penumpang memakainya. Pengusaha feri juga tidak menyuruh penumpang memakainya.
Mungkin pihak berkuasa perlu mempertimbangkan untuk menjalankan audit langkah-langkah keselamatan yang dilaksanakan atau menjalankan latihan simulasi untuk memeriksa keberkesanan langkah-langkah tersebut.
Mungkin perlu dipertimbangkan untuk melatih penduduk tempatan yang tinggal berhampiran pangkalan feri untuk menangani situasi krisis memandangkan penyelamat profesional yang terdekat hampir 100km jauhnya dan akan mengambil masa kira-kira dua jam untuk tiba selepas pemberitahuan.
Perjalanan menaiki feri yang beroperasi di Sarawak tidak begitu selesa seperti feri di Pulau Pinang atau Langkawi. Mereka yang menaiki feri Triso mungkin mendapati ia serupa dengan kapal pendarat yang digunakan oleh askar semasa Perang Dunia II, seperti yang dilihat dalam filem atau dokumentari.
Penumpang harus melangkah berhati-hati ketika meninggalkan kenderaan yang diparkir di atas feri agar tidak terpijak lantai yang kadang-kadang licin dan penumpang hanya disediakan bangku kayu.
Bangku yang disediakan juga tidak dapat menampung semua penumpang. Sebahagian terpaksa berdiri di luar kenderaan mereka. Dalam kes feri Triso, penumpang perlu berdiri sekiranya tempat duduk telah penuh dan terpaksa menahan panas atau hujan selama hampir satu jam sehingga feri tiba di tebing sungai.
Mungkin keselesaan adalah sekunder kepada keperluan mendesak untuk menyeberangi sungai dan menjimatkan masa. Tiada aduan yang dibangkitkan kerana sejak 2014, berikutan subsidi kerajaan yang tinggi, caj untuk feri awam bagi setiap kenderaan hanya RM1, tanpa sebarang tambang untuk penumpang.
Langkah-langkah untuk memastikan keselesaan dan keselamatan yang tinggi, memerlukan kos tambahan tetapi sama ada penumpang sanggup membayar harga yang lebih tinggi atau berapa banyak lagi adalah dua perkara berasingan.
Sehari selepas tragedi Triso, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing melawat kawasan tersebut dan mengumumkan langkah-langkah untuk mencegah kejadian seumpama itu dengan berkata pembinaan jambatan Batang Lupar telah bermula, berpotensi sebagai jambatan terpanjang di Malaysia yang akan siap dalam tempoh lima tahun.
Beliau juga berkata kerajaan negeri merancang untuk membina jambatan di semua tempat yang menyediakan perkhidmatan feri untuk menyeberang sungai utama.
Sehingga itu, perkhidmatan feri seperti Triso akan terus digunakan untuk perjalanan di jalan pesisir antara Kuching dan Sibu yang akan lebih singkat dan cepat.
Kebanyakan pemandu – dalam purata 48,000 kenderaan sebulan – lebih suka menggunakan jalan kedua ini yang melalui perkampungan di pesisir pantai di tiga bahagian dan tentu saja menaiki feri triso untuk meneruskan perjalanan mereka.
Penantian selama lima tahun mungkin tidak terlalu lama bagi pembinaan Jambatan Batang Lupar.
— BERNAMA

Suara Sarawak