Jambatan bantu perkasa potensi ekonomi Pulau Bruit

SARIKEI: Jambatan Muara Lassa dan Muara Paloh bukan sahaja menjadi ikon pembangunan wilayah tengah Sarawak tetapi membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi penduduk setempat.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam (UKAS), Abdullah Saidol berkata, projek yang menjadi pelengkap jalan pesisir Sarawak itu bakal memberi manfaat besar kepada rakyat dalam tempoh jangka panjang.

“Pembinaan kedua-dua jambatan ini sangat bermakna dalam pelbagai persepsi setelah sekian lama menunggu.
Malah, keinginan untuk menikmati sistem perhubungan jalan raya yang sempurna bukan sahaja akan memudahkan perjalanan tetapi turut mempengaruhi sosio ekonomi penduduk Pulau Bruit.

“Walaupun Pulau Bruit hanya dikenali sebagai penempatan majoriti nelayan dan pekebun namun itu kekuatan serta potensi Pulau Bruit yang boleh dimajukan,” katanya kepada wartawan.

Beliau berkata, usaha itu boleh dilaksanakan melalui perancangan yang baik serta penglibatan aktif penduduk tempatan mampu dijadikan sebagai pusat pembekal utama hasil laut dan tani terutama di zon tengah Sarawak.

Abdullah Saidol dan warga DUN 42 Semop sempat mengabadikan kenangan bersama Ketua Menteri selepas majlis pecah tanah Jambatan Muara Lassa semalam.

Katanya, Pulau Bruit boleh dimasukkan dalam senarai sebagai kawasan yang berpotensi sejajar dengan hasrat kerajaan negeri mewujudkan beberapa kawasan di Sarawak sebagai ‘Food Basket.’

“Saya juga dimaklumkan bahawa beberapa tempat sebelah selatan Pulau Bruit berpotensi untuk dimajukan sebagai lokasi perternakan (akuakultur) ikan sangkar laut seperti di pulau Kundur, Kelantan.

“Malah, perusahaan akuakultur negara menghasilkan pengeluaran berjumlah lebih 500,000 tan metrik dengan nilai lebih kurang RM3.4 bilion. Pengeluaran ini hanya menyumbang kira-kira 30 peratus kepada jumlah pengeluaran ikan negara. Ini bermakna potensi pembangunan akuakultur harus diterokai oleh kerajaan negeri atau agensi-agensi berkaitan,” katanya.

Beliau yang juga ADUN N.42 Semop berkata, pembinaan kedua-dua jambatan termasuk projek menaiktaraf beberapa jalan utama di Pulau Bruit sudah tentu memudahkan penghantaran hasil tani dan laut ke pasaran terutama ke pelabuhan yang terdekat di Tanjung Manis.

Tidak kurang penting katanya, ia menyokong pembangunan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik dan air bersih yang ketika ini dalam keadaan yang memerlukan tindakan serta perhatian segera oleh kerajaan.

“Jika kajian menunjukkan Pulau Bruit mempunyai potensi bukan hanya dari segi pengeluaran hasil laut tetapi juga hasil tani, saya yakin kerajaan negeri melalui Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Asli dan Pembangunan Wilayah akan memberi perhatian dan peluang untuk industri ini dimajukan di pulau ini.

“Warga Pulau Bruit amat menghargai sumbangan kerajaan negeri termasuk projek-projek di bawah Skim Projek Tranformasi Desa(RTP). Sebagai timbalbalas, mereka terutama warga muda bersedia untuk menyumbang dan menyahut seruan kerajaan menjadi masyarakat yang produktif dan kompetitif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berkata, agensi-agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar(JBALB), DID dan Sesco harus berada di tahap kecekapan dan budaya kerja yang tinggi dan jika perlu pengstrukturan semula mesti dilakukan.

“Tidak gunanya kerajaan merancang pembangunan yang hebat jika jentera pelaksana tidak cukup bersedia dan terlalu birokratik.

“Sementara kita juga menyokong usaha untuk meningkatkan Integriti perkhidmatan awam serta tahap profesionalisma, struktur perkhidmatan dan penghantaran terutama di kawasan pedalaman mesti dipantau dengan lebih teliti,” tambahnya.

Penduduk memberikan sambutan hebat majlis yang berlangsung di Daro semalam.

Suara Sarawak