Jambatan Batang Lassa bukti kesungguhan Kerajaan Sarawak tunai janji

DARO: Pembinaan projek Jambatan Batang Lassa kini sudah bermula sekaligus membuktikan Kerajaan Sarawak komited menunaikan janjinya untuk rakyat.

Menteri Muda Jalan Persisir, Datuk Julaihi Narawi berkata, jambatan sepanjang 2.43 kilometer yang dijangka siap dalam tempoh 48 bulan itu bakal memberi impak amat besar kepada rakyat khususnya di Daro dan kawasan sekitarnya.

Menurutnya, perlaksanaan projek itu jelas membuktikan Kerajaan Sarawak di bawah pentadbiran GPS berusaha memaksimumkan pembangunan demi kemudahan dan kesejahteraan rakyat termasuk di kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Projek yang bernilai RM597.58 juta ini merupakan pelengkap jalan pesisir sepanjang 896 kilometer di Sarawak.

“Apabila siap kelak, perhubungan penduduk akan menjadi lebih mudah dan singkat berbanding terpaksa menyeberangi sungai dan menaiki feri hari ini,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat persiapan majlis pecah tanah jambatan berkenaan di Pejabat Daerah Daro, hari ini.

Julaihi (dua kiri) mendengar penerangan ketika meninjau tapak projek pembinaan Batang Lassa. Kelihatan sama, Abdullah (tiga kiri) dan Safie (kiri)

Hadir sama, Menteri Muda Hal Ehwal Koperat, Abdullah Haji Saidol, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad, Timbalan Residen Bahagian Mukah Abdul Halim Abdullah dan Pegawai Daerah Daro, Bujang Rahman Seli.

Majlis dijangka akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 21 Ogos depan.

“Selain perasmian Jambatan Batang Lassa, kita juga menyentuh tentang majlis pecah tanah untuk Jambatan Batang Paloh yang dijangka akan diadakan pada tahun depan.

“Sehubungan itu, saya berharap semua pihak memberikan kerjasama agar majlis bersejarah ini berjalan lancar,” katanya.

Dalam pada itu, Abdullah ketika ditemui berkata, pembinaan jambatan berkenaan membuktikan perjuangan wakil rakyat kawasan pesisir mula membuahkan hasil.

“Mesyuarat hari ini adalah untuk membincangkan persiapan majlis pecah tanah untuk dua projek jambatan yang akan menghubung Pulau Bruit ke Daro (Batang Lassa) dan Serdeng (Batang Paloh).

“Kos membina dua jambatan ini menelan belanja kira-kira RM900juta dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak. Pada masa yang sama, dua kontraktor dipilih melalui tender terbuka melakukan telah kerja penyediaan tapak sejak dua bulan lalu,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.42 Semop.

Sejurus selesai mesyuarat, Julaihi ditemani Abdullah dan Safiee turut meninjau tapak projek yang terletak kira-kira empat kilometer dari pekan Daro itu.

Projek dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 48 bulan.

 

Mengabadikan kenangan sebelum mesyuarat bermula.