ARTIKEL

Jambatan Batang Lupar 2 kini dibuka kepada orang ramai.

Jambatan Batang Lupar 2 dibuka kepada orang ramai

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pembukaan Jambatan Batang Lupar No. 2 kepada orang ramai mulai petang tadi memendekkan masa perjalanan antara Sri Aman dengan Betong daripada kira-kira satu jam kepada hanya 25 minit.

Jambatan sepanjang 870 meter itu turut memendekkan jarak perjalanan antara kedua-dua bandar berkenaan daripada 73 kilometer kepada 28 kilometer, sekali gus menjimatkan perjalanan sejauh 45 kilometer.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak memaklumkan, jambatan itu merupakan sebahagian daripada Pakej B3 projek Jalan Utama Kedua Sarawak yang menyediakan laluan lebih langsung dari Sri Aman ke kawasan Lidong sebelum menuju ke Betong.

“Pakej B3 turut merangkumi pembinaan jalan akses jambatan sepanjang kira-kira 2.36 kilometer mengikut piawaian JKR R5, lengkap dengan sistem perparitan tepi jalan, kelengkapan jalan raya dan penghadang keselamatan,” menurut kenyataan itu, hari ini.

JKR Sarawak menjelaskan, jambatan berkenaan dibina mengikut piawaian JKR R5, selain direka bentuk bagi menampung keperluan laluan berkembar empat lorong pada masa depan.

Jambatan itu turut menyediakan ruang navigasi sungai selebar 200 meter dan setinggi 23 meter bagi membolehkan pergerakan pengangkutan air di bawah strukturnya.

“Keistimewaan jambatan tersebut terletak pada menara kabel penahannya yang setinggi 145.5 meter, sekali gus menjadikannya jambatan dengan menara kabel penahan tertinggi di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Struktur berkenaan bukan sahaja mencerminkan pencapaian kejuruteraan infrastruktur Sarawak, malah dijangka menjadi mercu tanda baharu Sri Aman serta tarikan kepada pengunjung.

Dalam perkembangan berkaitan, jambatan itu turut dihubungkan dengan projek Pakej B4 Jalan Utama Kedua Sarawak yang melibatkan pembinaan dan naik taraf Jalan Lidong sepanjang 27.84 kilometer menuju ke persimpangan Betong di Lebuh Raya Pan Borneo.

Projek bernilai RM292.06 juta itu merangkumi pembinaan dan naik taraf jalan daripada piawaian JKR R3 kepada R5, selain pembinaan dua jambatan, kerja pemindahan utiliti, pemasangan lampu jalan serta kemudahan keselamatan jalan raya.

Laluan berkenaan dijangka memudahkan penduduk kampung dan rumah panjang di sepanjang Jalan Lidong mengakses pusat pentadbiran, kemudahan awam serta kegiatan ekonomi di Sri Aman dan Betong.

Pembukaan jambatan itu juga berpotensi mengurangkan kos pengangkutan dan logistik, khususnya bagi peniaga serta pengusaha tempatan yang bergantung kepada rangkaian jalan raya untuk memasarkan barangan dan hasil pertanian.

BERITA LAIN

Ba’Kelalan berpotensi jadi destinasi pelancongan unik

KUCHING: Keunikan budaya, kraftangan dan hasil tempatan menjadikan Ba’Kelalan berpotensi muncul sebagai destinasi pelancongan baharu yang menarik di Sarawak. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk

BERITA TERBARU

Ba’Kelalan berpotensi jadi destinasi pelancongan unik

KUCHING: Keunikan budaya, kraftangan dan hasil tempatan menjadikan Ba’Kelalan berpotensi muncul sebagai destinasi pelancongan baharu yang menarik di Sarawak. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk