SRI AMAN: Projek Jambatan Batang Lupar 2 dijangka siap pada April 2025 melengkapkan jaringan Jalan Utama Kedua dan Jalan Pesisir di Sarawak.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur), Ir. Aidel Lariwoo berkata, ada beberapa pakej pembinaan jalan yang menghubungkan Projek Jambatan Batang Lupar 2 bagi melengkapi keseluruhan projek berkenaan.
Antaranya, projek pakej B2a (cadangan naik taraf Jalan Utama di Bandar Sri Aman), B2 Fasa 1 (pembinaan Jalan dari Jalan Kejatau ke Jambatan Batang Lupar 2 termasuk laluan ke Bandar Sri Aman) dan B2 Fasa 2 (pembinaan simpang Jalan dari Jambatan Lingga ke Pekan Lingga).
“Jambatan Batang Lupar 2 dan beberapa pakej lain harus disiapkan sebagai pelengkap jaringan Jalan Utama Kedua dan Jalan Pesisir kita di Sarawak,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja di Bilik Mesyuarat Tapak Pembinaan Jambatan Batang Lupar 2, Sri Aman, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Aidel berpuas hati dengan langkah yang diambil oleh pihak kontraktor untuk menyiapkan projek tersebut mengikut jadual yang ditetapkan walaupun terkesan akibat pandemik Covid-19.