Jambatan Batang Rambungan dibatal Kerajaan PH

KUCHING: Projek Jambatan Batang Rambungan merupakan satu daripada tiga jambatan yang sepatutnya dibina oleh Kerajaan Persekutuan.

Namun, jambatan itu dibatalkan pembinaannya bersama-sama banyak lagi projek pembangunan lain di negeri ini selepas PH memenangi PRU-14, tanpa mengambil kira kepentingan dan kebajikan 2.8 juta rakyat di negeri ini.

Menurut Menteri Muda Infrastruktur dan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi, pertukaran Kerajaan Persekutuan menyebabkan ketiga-tiga jambatan tidak lagi menjadi keutamaan.

Untuk itu, atas keprihatinan Kerajaan Negeri di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, projek itu pun terpaksa diambil alih dari segi peruntukan dan pelaksanaannya.

“Oleh kerana jambatan ini sangat penting untuk melengkapkan jalan pesisir di laluan pesisir Sarawak, maka Kerajaan Sarawak mengambil alih pembiayaannya,” jelas Julaihi.

“Kita ambil keputusan meletakkannya dalam bajet Kerajaan Sarawak sendiri,’ katanya dalam satu wawancara pramajlis pecah tanah hari ini.

Majlis pecah tanah hari ini dilakukan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Katanya, jambatan berkenaan akan menyambung laluan-laluan terputus di sepanjang laluan pesisir di Sarawak.

Selain Jambatan Batang Rambungan, jambatan-jambatan lain yang dibina Kerajaan Sarawak alah Batang Sadong, Sungai Krian, Batang Paloh, Muara Lassa, Batang Igan dan Batang Lupar.