BETONG: Jambatan Linsum yang menjadi penghubung terakhir siap di bawah projek menaik taraf Jalan Linsum ke Ijok dan Kerapa, Spak mampu memendekkan masa perjalanan ke Bandar Betong sehingga satu jam setengah berbanding enam jam menggunakan pengangkutan sungai.
Adun Layar Gerald Rentap Jabu berkata, jambatan tersebut telah siap dan dapat digunakan.
Menurutnya, jambatan yang merentangi Sungai Layar sepanjang 70 meter merupakan jambatan kelima dan terakhir siap bagi projek menaik taraf Jalan Linsum ke Ijok dan Kerapa, Spak.
“Jalan ini menghubungkan rumah panjang Linsum, Mara, Melanjan, Temedak, Jelang, Luing, Grugu, Penyuin , Ijok dan Krapa Spak.
“Malah, bersambung juga ke Klinik Kesihatan Nanga Mujau, kemudian ke Jalan Nanga Mujau dan Batu Lintang.
“Justeru, dengan adanya penghubung terbaharu ini, penduduk yang tinggal di rumah panjang paling jauh dapat ke Betong dalam masa perjalanan satu jam setengah berbanding enam jam melalui sungai,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.