Jambatan Merah akan kekal merah

BINTANGOR: “Jangan bimbang rakyat Bintangor, Jambatan Merah tetap akan kekal merah,” tegas Adun Meradong Datuk Ding Koung Hiing dalam portal rasmi milik beliau.

Ding menjelaskan perkara itu berikutan persoalan yang ditimbulkan oleh netizen berhubung warna jambatan terbabit selepas dicat semula Isu itu hangat diperkatakan melalui media sosial sejak beberapa hari lalu.

“Tak apa Jambatan Merah ditukarkan kepada Jambatan Hijau la.

“Kan kontraktor JKR baru sahaja mula hari pertama mengecat jambatan pun terus diambil gambar… jadi bahan isu hangat diperkatakan di media sosial, ” kata Ding.

Mengulas lanjut, beliau berkata, cat berwarna hijau gelap pada jambatan berkenaan hanya lapisan bawah sebelum dicat semula kepada warna merah.

Perkara itu katanya, dimaklumkan oleh Pegawai Daerah Meradong, Badjuri Bidin, Jurutera MDMJ, Robin Roy dan pihak JKR kepada beliau.

“Usah risau, warna merah tetap akan dicatkan pada jambatan ini,” jelasnya.

Suara Sarawak