KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Satok Datuk Ibrahim Baki memberi jaminan bahawa proses pembinaan Jambatan Sungai Bintangor di Jalan Datuk Ajibah Abol di sini akan dipercepatkan.
Demikian ujarnya ketika ditanya mengenai perkembangan pembinaan jambatan tersebut, selepas ditutup sepenuhnya bagi memberi ruang kepada kerja-kerja meroboh jambatan lama dan membina jambatan baru di lokasi yang sama.

Beliau optimis walaupun berlaku sedikit kelewatan berikutan penularan wabak pandemik Covid-19 selain faktor kekurangan bahan binaan, ia dapat disiapkan pada penghujung tahun depan (2023).
“Kita alami sedikit kelewatan ekoran berlakunya pelbagai cabaran dan masalah sebelum ini, tetapi selepas ini saya memberi keyakinan prosesnya akan dipercepatkan.
“Malah, program bagi projek ini juga sudah disusun semula dan Insya-Allah kalau tiada halangan ia akan siap dalam masa terdekat yang dijangka penghujung tahun depan,” katanya selepas merasmikan Program Ibadah Korban Majid Darulhana Patingan (MDHP) 2022, di sini, hari ini.
Sehubungan itu beliau menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengkaji semula projek ini agar pembinaan jambatan berkenaan boleh dipercepatkan dengan sebaik mungkin.
Katanya, terdahulu beliau juga telah diberikan taklimat dalam satu mesyuarat bersama pihak kontraktor, konsultan serta jabatan pelaksana iaitu JKR dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
“Kita tidak boleh untuk bekerja sesuka hati misalnya bekerja pada sebelah malam yang boleh mengganggu ketenteraman penduduk kampung sekitar.
“Justeru, saya memohon JKR untuk mengkaji semula projek ini sekali gus mencari penyelesaian bagaimana kita dapat mempercepatkan pembinaan jambatan ini,” ujarnya lanjut.
Jambatan Sungai Bintangor telah ditutup sepenuhnya bermula dari 2019 bagi memberi ruang kepada kerja-kerja meroboh jambatan lama dan membina jambatan baru di lokasi yang sama.
Projek pembinaan jambatan tersebut yang melibat kos sebanyak RM50 juta bakal menjadi jambatan ikon kedua di Kuching selepas Jambatan Darul Hana.