Jambatan Sungai Bintangor siap lebih awal

KUCHING: Projek naik taraf Jambatan Sungai Bintangor dijangka siap lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mendedahkan, projek berkenaan menelan kos kira-kira RM50 juta.

“Jambatan lama akan dirobohkan dan diganti dengan jambatan baharu. Bagi tujuan keselesaan penduduk, kita membina jambatan sementara di sebelah tapak projek ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan rasmi projek pembinaan Jambatan Kampung Bintangor di Jalan Datuk Ajibah Abol Kuching di sini, semalam.

Terdahulu menurut kenyataan JKR Sarawak, projek itu dapat disiapkan lebih cepat kerana kemajuan fizikalnya mencapai 2.13 peratus dan pada 25 Julai, pembinaannya mencecah 4.98 peratus berbanding 2.85 peratus.

Projek itu bermula pada Disember 2019 dan dijangka siap pada Disember 2022.

Untuk rekod, projek itu dibina dengan jalan berkembar empat lorong termasuk menaik taraf serta meluaskan jalan dua lorong di Jalan Datuk Ajibah Abol dari Masjid Bahagian ke persimpangan Jalan Hj. Mataim.

Ia dijangka membantu meningkatkan aliran lalu lintas dan berfungsi sebagai jalan alternatif.

Ia dijangka menjanjikan manfaat kepada ekonomi sosial penduduk di sekitar untuk jangka masa panjang termasuk menikmati keindahan fizikal jambatan itu sebagai tarikan terbaharu.

Suara Sarawak