James Masing selar tindakan negara maju monopoli bekalan vaksin Covid-19

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing menyelar monopoli vaksin oleh negara maju dan menyokong kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Menurut James Masing, monopoli vaksin Covid-19 oleh negara maju adalah satu penindasan terhadap negara lemah.

“Saya menyokong Khairy apabila beliau memberitahu, negara-negara maju memonopoli vaksin apabila berlakunya pandemik kesihatan global dan ia tindakan tidak bertanggungjawab.

“Malah, pandemik seperti Covid-19 adalah tidak berasal dari negara-negara miskin tetapi dari negara kedua terkaya di dunia, China,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Tegas James Masing, China dan negara-negara maju yang lain harus bersedia berkongsi kepakaran dan sumber untuk membantu dunia kurang maju dalam memerangi ancaman Covid-19.

“Negara-negara kaya harus bersedia untuk berkongsi kepakaran mereka dan berhenti memonopoli vaksin Covid-19 yang merosakkan kehidupan dan menjejaskan ekonomi negara-negara miskin.

“Ini kerana kita sukar memperolehi bekalan vaksin beberapa bulan kebelakangan ini,” ujarnya.

Suara Sarawak