KUCHING: Jurulatih powerlifting negara, Jamil Adam mendedahkan kelibatnya kini mula diintai badan sukan negara jiran bagi membentuk kredibiliti atlet mereka.

Jurulatih kelahiran Sarawak itu memberitahu, pegawai sukan negara terbabit telah menghubungi dirinya sekali gus menyatakan hasrat berkenaan.
Menurut Jamil, tiada masalah untuk dirinya berhijrah sekali gus menabur khidmat melatih atlet negara terbabit sekiranya segala perancangan mencapai persetujuan bersama.
“Saya akan memperhalusi tawaran berkenaan dan sekiranya memenuhi kriteria diinginkan, tiada masalah untuk saya berhijrah untuk melebarkan kerjaya sebagai seorang jurulatih,” ujar Jamil kepada Arena Suara Sarawak.
Sifu yang mencetus pembangunan sukan powerlifting Sarawak itu mula mengemudi kem powerlifting negara sejak tahun 2014.
Sentuhan hebat Jamil Adam begitu dikagumi apabila berjaya melahirkan jaguh dunia seperti Bonnie Bunyau Gustin, Jong Yee Khie ramai ramai lagi atlet powerlifting dari Sarawak yang begitu menyerlah penampilan mereka di temasya Sukan Para Sukma.



