KAPIT: Kerajaan Persekutuan memberi jaminan akan membantu mempercepatkan pembinaan kemudahan infrastruktur asas di Kapit termasuk menyediakan peruntukan yang diperlukan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia termasuk memastikan pelaksanaan pembinaan Kolej Profesional Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Kapit yang menelan peruntukan sebanyak RM9.7 juta bermula pada tahun ini.
“Mengambil perhatian kepada permintaan Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk mempercepatkan pembinaan Kolej Profesional Mara, saya umumkan pembinaannya akan dimulakan pada tahun ini juga,” katanya.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata demikian pada Majlis Interaksi dan Sambutan Gawai Dayak di Dewan Suarah Kapit, semalam.
Dalam pada itu, beliau turut meluluskan beberapa permohonan pembinaan dan pembangunan infrastruktur lain di Kapit demi keselesaan masyarakat tempatan.
“Begitu juga saya luluskan permintaan untuk mempercepatkan pembinaan jalan dari Nanga Semaram ke Nanga Beguang, Kanowit yang menelan belanja RM170 juta.
“Kedua, pembinaan jalan Jalan Sungai Sut ke Rumah Juntan dengan kos RM60 juta, ketiga adalah menggantikan Jambatan Sungai Amang ke Rumah Richard Engking dengan jambatan konkrit dengan kos RM4.8 juta.
“Akhir sekali, bagi pelaksanaan Skim Bekalan Air Alternatif Bahagian Kapit diluluskan dengan pembiayaan RM60 juta,” ujarnya.
Tegasnya, Kerajaan Persekutuan terus memberikan apa sahaja peruntukan projek yang selayaknya diperoleh Kerajaan Sarawak.
“Apatah lagi apabila kerajaan negeri sentiasa bersama dan menyokong kerajaan pusat, maka kita akan terus menyalurkan peruntukan projek melebihi apa yang sepatutnya diperoleh negeri itu.
“Kami prihatin terhadap isu bekalan air, elektrik, jalan raya di negeri ini supaya ia dapat segera dilaksanakan.
Malah saya sendiri akan memantau perkembangan pelaksanaan projek yang diluluskan,” tambahnya.
Terdahulu, Alexander dalam ucapannya memohon agar projek yang diluluskan untuk kawasan Kapit untuk disegerakan pelaksanaan pembinaannya demi memenuhi keperluan rakyat.
“Mengenai projek Pembinaan Kolej Profesional Mara yang lama diluluskan dan pengambilalihan tanah juga sudah dibuat.
Sekarang hanya menunggu pembinaan. Saya memohon agar projek ini dapat dilaksanakan secepat mungkin.
“Ini kerana Kapit merupakan satu-satunya kawasan besar yang tidak mempunyai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan saya berharap pembinaannya disegerakan kerana tidak ada lagi masalah yang boleh mengganggu projek ini,” jelasnya.
Katanya lagi, lawatan Ahmad Zahid ke Kapit harus dimanfaatkan untuk mengutarakan beberapa keperluan penting, termasuk pembinaan jalan raya baharu yang membantu meringankan kesesakan jalan utama di kawasan itu.