KUCHING: Pihak pengurusan Sarawak United FC (SU FC) memberi jaminan akan melunaskan gaji pemain dan pegawai yang tertunggak ketika ini.
Menerusi kenyataan rasmi dikeluarkan, badan induk itu telah mengambil maklum mengenai kelulusan Lesen Nasional Bersyarat dan juga FIB (First Instance Body).
Menurut kenyataan itu, pihak SU FC juga akur atas arahan yang telah diumumkan dan ditetapkan.
Justeru, SU FC akan membuat pembayaran kepada pihak-pihak berwajib seperti jumlah yang telah dipersetujui berdasarkan tarikh seperti mana yanh telah dijadualkan.
Pihak SU FC juga amat mengalu-alukan lawatan pihak atau wakil FIB ke pejabat yang berpangkalan di Kuching pada satu tarikh yang akan ditentukan kelak bagi tujuan penilaian.
Dalam pada itu, pihak SU FC akan sentiasa memberi kerjasama kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), FIB dan semua pihak berwajib untuk memastikan pematuhan kesemua syarat pelesenan yang ditentukan.


