Janda antara ditahan menyalahguna dadah

KUCHING: Seorang janda berusia 23 tahun antara sembilan individu yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah di sini, semalam.

Kesemua mereka yang berusia 23 hingga 49 tahun dicekup dalam serbuan yang dijalankan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak ke atas sebuah rumah di Lorong W, Jalan Foo Chow No.1 di sini, petang semalam.

Menurut Ketua JSJN Sarawak Superintendan Hasnir Abdul Hamid, pada awal pasukan serbuan telah menahan tiga lelaki dan dua wanita termasuk janda terbabit pada lebih kurang jam 3 petang.

Katanya pemeriksaan menjumpai dadah jenis syabu seberat 8.38 gram yang dianggarkan bernilai RM1,080 daripada dua suspek lelaki.

Sejurus selepas itu, beliau berkata pasukan serbuan turut menahan empat lelaki yang dipercayai penagih dadah apabila mereka datang ke rumah terbabit untuk mendapatkan bekalan.

“Saringan air kencing terhadap kesemua sembilan suspek juga positif dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hasnir menambah kesemua suspek dalam proses permohonan reman, di mana lima daripadanya juga memiliki rekod jenayah lampau.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun termasuk tidak kurang tiga sebatan dan tidak melebihi sembilan sebatan.

Dalam kes berasingan, Hasnir berkata seorang lelaki ditahan kerana memiliki syabu seberat 12.80 gram yang dianggarkan bernilai RM1,200.

Katanya suspek yang berusia 44 tahun dan sudah berkahwin dicekup dalam serbuah di sebuh rumah tidak bernombor di Jalan Hock Ming, Sungai Bidut, Sibu.

“Semasa diperiksa, suspek sendiri telah menyerahkan dadah tersebut,” katanya sambil menambah suspek yang mempunyai rekod kesalahan lampau kini ditahan di lokap Balai Polis Sentral Sibu untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata suspek kini dalam proses permohonan reman dan sabit kesalahan boleh dipenjara boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun termasuk tidak kurang tiga sebatan dan tidak melebihi sembilan sebatan di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952.

Dadah yang dirampas daripada suspek dalam serbuan di sebuah rumah di Lorong W, Jalan Foo Chow No.1 di sini, petang semalam.

Suara Sarawak