Janda jual judi online ditangkap

PADAWAN: Seorang janda dan remaja lelaki ditangkap kerana menjalankan kegiatan penjualan judi atas talian di sini.

Kedua-dua suspek ditangkap menerusi dua serbuan berasingan dalam Ops Dadu yang dijalankan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan, tangkapan ke atas wanita berusia 20 tahun itu dibuat sekitar jam 5.30 petang di premis Twin 95 Cafe, SL 90 Jalan Matang.

“Suspek mengaku bekerja sebagai penjual judi atas talian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Remaja lelaki yang ditangkap kerana menjual judi atas talian.

Katanya seunit telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM143 turut dirampas dari suspek, yang mempunyai satu rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Manakala, Aidil berkata tangkapan ke atas remaja lelaki berusia 18 tahun terbabit dibuat sekitar jam 5.50 petang di pemis 98 cafe, Taman Lee Ling, Matang.

“Pasukan serbuan turut merampas seunit telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM117 daripada suspek,” katanya.

Beliau menambah suspek yang mengaku bekerja sebagai penjual judi atas talian juga mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.