Jangan abaikan SOP, virus masih ada walaupun kes menurun

SPAOH: Penduduk luar bandar diingatkan agar tidak bersikap sambil lewa dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Kita masih belum selamat. Kes-kes positif masih ada menunjukkan virus tersebut masih bersama kita walaupun terdapat trend penurunan,” kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas kepada penduduk rumah panjang dari Melavu Bair, Ulu Layar dan Rh Jawat di Babu Tengah, rumah panjang di Debak di bawah kawasannya di, Bukit Saban di sini pada Selasa.

“Kita harus terus berwaspada dan berjaga-jaga. Ini termasuk orang luar yang melawat kita tetapi tidak mematuhi SOP seperti memakai pelitup muka dan lain-lain,” katanya.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menambah pelawat dari luar juga harus menghormati keperluan untuk melindungi diri sendiri dan penduduk luar bandar.

Jelasnya, protokol seperti memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal serta yang lain perlu dipatuhi.

Dalam pada itu, Uggah mengumumkan peruntukan RM 100,000 untuk pembinaan jambatan gantung besi di Melabu Tengah bagi menggantikan jambatan yang telah runtuh akibat banjir di kawasan tersebut baru-baru ini.

Di Rh Jawat, Uggah diiringi Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Dr Richard Sapu membuat pemeriksaan pada kemajuan kerja di tapak projek pembesaran rumah panjang.

Kemudiannya, mereka turut melawat SK Nanga Gayau untuk memeriksa projek naik taraf sekolah bernilai RM 7 juta.

Ini termasuk pembinaan blok tiga tingkat yang terdiri dari enam bilik darjah, makmal sains, pejabat guru, pusat pentadbiran, empat unit asrama guru dan kemudahan yang lain.

Pembinaan ini dijangka siap menjelang Januari tahun hadapan.

Suara Sarawak