Jangan ambil kesempatan sebar berita palsu

KETIKA negara berhadapan dengan peningkatan kes Covid-19 kini apa yang menjadi kebimbangan kita mengenai penyebaran berita palsu dalam kalangan masyarakat.
Istilah hanya di hujung jari sering dikaitkan dengan teknologi terkini dan ia memberikan impak kepada penyebaran maklumat.
Kita tidak pernah melarang masyarakat untuk berkongsi maklumat tetapi mereka perlu memastikan apa yang disebarkan dan dikongsikan adalah sahih.
Apakah maksud berita palsu?
Apakah semua pihak menyedari akan definisi sebenar berita palsu?
Berita palsu adalah sejenis kewartawanan kuning atau propaganda yang terdiri daripada penyebaran maklumat salah atau olok-olok secara sengaja melalui media sama ada akhbar tradisional, media penyiaran mahupun media sosial melalui dalam talian.
Bagaimanakah penyebaran maklumat dan berita palsu ini dilakukan?
Apakah masyarakat tidak sedar tentang perkara ini?
Apa yang sering kita lihat adalah penyebaran maklumat palsu dikaitkan dengan penggunaan telefon bimbit lebih-lebih lagi telefon pintar.
Ia juga disebabkan oleh penggunaan aplikasi seperti WhatsApp juga laman sosial Facebook dan sebagainya yang berkaitan.
Apabila masyarakat membaca hantaran di laman sosial atau WhatsApp – mereka akan dengan mudah merakam hantaran berkenaan lalu berkongsi kepada rakan yang lain tanpa memeriksa sahih atau tidak.
Disebabkan perkara sedemikian ia boleh menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat seterusnya mengundang kepada perkara yang tidak diingini dan banyak lagi.
Perkara sedemikian juga mengundang kepada perkara negatif.
Seperti yang berlaku baru-baru ini, terdapat perkongsian masyarakat melibatkan pasar raya di Kota Samarahan yang mendakwa terdapat individu yang berkaitan dengan kontak Kluster Pasai Siong, Sibu mengunjungi pasar raya berkenaan dan hantaran di WhatsApp itu juga mengatakan perkara tersebut disahkan oleh kakitangan Klinik Kesihatan Kota Samarahan.
Individu yang pernah mengunjungi pasar raya tersebut pada hari ia tersebar berasa bimbang serta takut.
Bagaimanapun, perkara itu disangkal sekeras-kerasnya oleh sebuah pasar raya dengan membuat hantaran di Facebook dan mengesah ia sebagai berita tidak benar.
Apa yang boleh kita lihat dalam situasi ini?
Kebenaran berita yang disebarkan itu perlu benar dan bukan sebaliknya. Kerana perkara sedemikian memberikan impak yang negatif kepada masyarakat khususnya pengunjung pasar raya berkenaan.
Selain itu, baru-baru ini juga terdapat dua keping gambar tular yang menunjukkan keadaan pusat kuarantin di Dewan Suarah Sibu.
Dalam hantaran di Facebook, gambar yang tular itu dikatakan pusat kuarantin bagi penduduk rumah panjang di Pasai Siong, Sibu yang dikesan positif Covid-19.
Ia adalah palsu. Dalam hal berkaitan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka sebanyak 274 kertas siasatan berhubung berita palsu berkaitan Covid-19 sehingga 9 November 2020.
Perkara ini juga amat membimbangkan dan Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, kerajaan memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap penyebar berita palsu hingga menimbulkan panik serta kegusaran masyarakat.
Perkara tersebut juga dipandang serius oleh Kerajaan Sarawak di mana Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga pernah mengingatkan masyarakat agar tidak mudah menyebarkan berita palsu.
Ekoran itu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas sering mengingatkan untuk tidak menyebarkan berita palsu.
Jadi sebagai masyarakat yang bertanggungjawab kita perlu memastikan diri tidak terlibat dalam perkara sedemikian.
Penyebaran berita palsu ini dipandang serius kerana ia boleh memberi kesan kepada kehidupan seseorang.
Ia juga boleh menimbulkan masalah dan panik dalam kalangan masyarakat. Jadi kita perlu menjadi masyarakat yang bijak dalam memilih maklumat untuk dikongsikan kepada orang lain dan jangan sesekali menyebarkan berita palsu kerana tindakan undang-undang boleh diambil sekiranya kita melakukan perkara tersebut.
Sebagai rekod, sebarang penciptaan atau penyebaran berita dan kandungan palsu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun.