Jangan bakar api perkauman

BAKAL tersergam indah dengan seni bina tengkolok, Wisma Melayu Sarawak (WMS) sedikit masa lagi akan menjadi satu medan bangsa Melayu Sarawak meneruskan hasrat dan usaha memartabatkan warisan bangsa untuk dinikmati generasi akan datang.

Pembinaan wisma itu merupakan idea dan impian mantan Ketua Menteri, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem semasa hayatnya ketika menerajui kepimpinan Kerajaan Sarawak sebelum meninggal dunia pada 11 Januari 2017.

Setelah tiga tahun berlalu, Kerajaan Sarawak meneruskan pimpinan Tok Nan dengan harapan ia kekal dan menjadi mercu solidariti perpaduan rakyat Sarawak. Namun di sebalik niat murni kerajaan Sarawak membangunkan WMS itu, terdapat suara sumbang yang terpekik terlolong mempersoalkan tentang kerelevanan projek tersebut.

Di dada media sosial melalui hantaran Facebook, pembangkang terlalu lancang mengkritik dan mencanang isu perkauman yang meletakkan soal bangsa sebagai ukuran.

Perkara yang sama berlaku ketika penubuhan Wisma Unifor, pendapat mereka berhaluan kiri yang menganggap ia sebagai pembaziran wang kerajaan.

Apakah satu pembaziran apabila kerajaan membelanjakan wang untuk mengangkat solidariti sesuatu bangsa warganya?

Ia bukan projek berat sebelah, agama dan bangsa lain di negeri ini juga dibela.

Buktinya dengan pembinaan Kompleks Unifor, malah geran dan dana disediakan untuk baik pulih gereja serta tokong.

Pendapat mereka berhaluan kiri kononnya ingin mempamerkan Kerajaan Sarawak berat sebelah dengan hanya memperjuangkan hak dan keperluan bangsa Melayu salah, tidak betul dan cetek.

Tanpa selidik dan tanpa berfikir serta tidak melakukan sedikit kajian, mereka terus melolong nyaring menyatakan Kerajaan Sarawak berat sebelah.

Semak fakta sebelum mengeluarkan pendapat.

Di mana akal pihak itu untuk berfikir dan mentafsir mengenai pandangan mereka yang kini jatuh sebagai satu tuduhan yang tidak munasabah.

Lakukan carian pada Google, sekiranya mereka terlalu segan untuk membuka mulut bertanya kepada kerajaan bagi mengetahui kebenaran dan persoalan yang terbenam di minda.

Langkah kurang bijak apabila ada pihak mengadu domba dengan tuduhan yang akhirnya memakan diri mereka.

Pada 10 Disember, di akaun Facebook Sokong Baru Bian, mereka mempersoalkan Kenapa Wisma Melayu? Kenapa bukan Wisma Rakyat Sarawak?

Seterusnya disoal lagi pada perenggan kedua, apakah pembinaan seterusnya? Wisma Bidayuh, Wisma Iban? Wisma Kayan? Wisma Cina?

Dan pada perenggan ketiga jelas menunjukkan invidividu yang menjaga akaun itu terlalu cetek ilmu dan sengaja membakar api perkauman. Pertanyaan seperti siapa berhak menggunakan Wisma Melayu?

Siapa yang dapat hadir apabila terdapat acara?

Ia adalah bicara yang membakar kesejahteraan kaum di negeri ini.

Cukup dengan tiga perenggan hantaran di halaman Facebook itu bagi penulis, mereka memperlihatkan pihak berkenaan berniat untuk menghasut selain dari menuduh.

Sedangkan dua Menara Penggau Dayak lebih awal dibina dan majlis pecah tanah bangunan itu juga lebih awal berlangsung iaitu 20 Oktober lalu berbanding Wisma Melayu Sarawak.

Bukan niat mempertikaikan, tetapi penulis membuat perbandingan pendapat.

Menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di majlis pecah tanah berkenaan pembinaan dua menara iaitu ibu pejabat baharu Dewan Perniagaan Dayak (DCCI) dan Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF) memainkan peranan penting dalam memacu industri masyarakat Dayak iaitu dengan tujuan untuk menyelaras serta mengawal selia hal-hal berkaitan adat dan budaya masyarakat tersebut.

Malah, keadaan dikeruhkan lagi pada 12 Disember oleh Ketua Cawangan DAP Serian, Brolin Nicholsion; yang mencadangkan agar Kerajaan Sarawak menukar nama Wisma Melayu Sarawak kepada Wisma Kenyalang Sarawak sambil mengulas nama yang ada kini Wisma Melayu Sarawak tidak menggambarkan Sarawak yang berbilang budaya.

Terang lagi bersuluh bagi penulis.

Pihak pembangkang sudah ketandusan modal untuk menarik perhatian rakyat sehinggakan sanggup bermain dengan isu perkauman yang seolah picisan namun terlalu sensitif untuk dijadikan bahan omong kosong waima hanya dalam hantaran di akaun Facebook.

Kita sudah berada di tahun 2020 dan sedang menjalani kehidupan dalam norma baharu.

Itu hanya ingatan penulis. Jadi mentaliti pihak pembangkang yang ingin meraih undi rakyat tidak perlu hingga memperlihatkan tahap intelektual atau pemahaman pengetahuan am yang asas anda lemah.

Pesan penulis tidaklah perlu meraih undi secara membuka pekung yang mengandungi kelemahan anda sendiri.

Suara Sarawak