Jangan bakar sentimen kaum

KUCHING: Secara peribadi kita bangga dengan pandangan pemimpin politik Sabah dan Sarawak yang menggesa Kerajaan Persekutuan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, kata Ketua Wanita SUPP Kho Teck Wan.

Jelasnya, berdasarkan petisyen tersebut, ia dimulai oleh Ahli Parlimen PH-UPKO, Wilfred Madius dari Sabah.

“Tetapi setakat ini, saya tidak senang hati dengan kenyataan Micheal Kong  (DAP Sarawak) yang mendakwa pemimpin GPS dan SUPP tidak menunjukkan sokongan terhadap gesaan menarik semula rayuan tersebut,” jelasnya.

Tegas Teck Wan, ini jelas menunjukkan petisyen berkenaan bukan memperjuangkan kebebasan menggunakan kalimah Allah tetapi untuk memperlekehkan pemimpin GPS.

“DAP dengan sengaja menggunakan nama pemimpin GPS untuk petisyen itu yang boleh mengganggu keharmonian antara kaum dan agama di negeri ini.

“Keharmonian kaum, agama sangat berharga dan unik bagi Sarawak sehingga menjadi tanggungjawab semua rakyat untuk melindunginya,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap agar ahli politik DAP berhenti bermain api dengan bangsa dan agama untuk selama-lamanya.

Suara Sarawak