KUCHING: Anggota parti pembangkang di negeri ini diminta untuk tidak memainkan sentimen perkauman yang menghasut kaum Dayak berkaitan isu pelarian Rohingya.

Ketua Penerangan PBB yang juga Adun Muara Tuang Datuk Idris Buang berkata, beliau hanya mahu pelarian Rohingya diberikan tempat khas untuk keselamatan mereka.

“Saya hanya mahu mereka ditempatkan di dalam satu tempat khas bukannya bebas di dalam masyarakat kita sebelum dihantar pulang mengikut SOP ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Saya sendiri tidak mahu Rohingya menyertai masyarakat kita kerana mereka mempunyai budaya lain.

Tetapi atas perikemanusiaan bukan kerana agama dan bangsa, saya mahu anak-anak dan wanita Rohingya jangan dicampak ke dalam laut dan ditembak mati seperti mana yang berlaku di Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu paparan video berdurasi selama sembilan minit 35 saat.

Tegas Idris, beliau tidak teragak-agak untuk membawa perkara tersebut kepada muka pengadilan akibat perbuatan menghasut.

“Jadi jangan kamu membohongi rakyat dengan memainkan isu sentimen perkauman terhadap kaum Dayak dan Melayu.

“Politik di Sarawak perlukan keharmonian dan perlu dibela dengan kasih sayang,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar rakyat tidak mudah terpengaruh dengan hasutan yang dilakukan oleh pihak pembangkang yang mengungkit isu perkauman berkaitan pelarian Rohingya.

Idris juga mengingatkan parti politik pembangkang di negeri ini supaya tidak menyelewengkan fakta dan bercakap perkara yang palsu terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Perikatan Nasional (PN)+GPS yang sekarang ini sedang menerajui Kerajaan Persekutuan.

“Sebenarnya memorandum persefahaman PN+GPS ini hanya suatu janji yang ringkas dan tidak berdaftar di mana-mana perbadanan.

“Ia hanya kesefahaman di antara parti-parti PN yang mengandungi Bersatu, Umno, Pas, MCA dan MIC bersama GPS, tetapi GPS bukan anggota PN. “Apa yang berlaku kepada PN tiada kaitan dengan GPS dan apa yang berlaku dengan GPS pula, PN tiada hak untuk campur tangan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, memorandum persefahaman tersebut hanya suatu bentuk koloborasi dalam membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Untuk rakyat Malaysia dan Sarawak, kita perlu sebuah Kerajaan Persekutuan yang kukuh supaya dapat membantu semua negeri termasuk Sarawak.

“GPS tidak tergantung kepada perlembagaan PN.

“GPS ada perlembagaan sendiri dan jangan suka membangkit isu yang mengelirukan rakyat,” ujarnya.