Jangan bawa virus balik rumah

KUCHING: Penduduk yang tinggal di kawasan merah, jingga atau kuning yang aktif kes Covid-19 digesa mengelak mengadakan kunjungan Tahun Baharu Cina ke kawasan hijau.

Itu antara kenyataan serta nasihat yang dikeluarkan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing sempena sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini.

“Begitu juga sebaliknya, bagi mereka yang tinggal di kawasan hijau, elakkan berkunjung ke kawasan aktif kes. “Tindakan ini amat penting bagi mengelak anda membawa virus Covid-19 balik ke rumah,” tegasnya.

Beliau juga menggesa masyarakat untuk mengelakkan daripada berjumpa dengan ahli keluarga atau rakan yang berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi teruk jika dijangkiti virus seperti warga emas berumur 60 tahun ke atas, mereka yang obesiti atau menghidap penyakit kronik.

“Sekiranya ingin menganjurkan perjumpaan keluarga, pastikan saiz perhimpunan seminimum mungkin. “Elakkan berkumpul dengan ahli keluarga atau rakan yang bukan dalam kalangan isi rumah anda.

Termasuk elakkan amalan berkunjung dari rumah ke rumah,” ujarnya lagi. Malah katanya, bagi perhimpunan keluarga, sebaikbaiknya anjur aktiviti tersebut di ruang bersesuaian di luar rumah yang lebih luas dan tidak sesak.

“Jika tidak dapat berbuat demikian, pastikan pengudaraan di dalam rumah baik dengan membuka tingkap dan pintu. “Jika perlu berjumpa dengan ahli keluarga yang bukan isi rumah anda, berjumpa di luar rumah sambil memakai pelitup muka dan sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 6 kaki (2 meter)

“Elakkan makan atau minum bersama-sama melebihi tempoh 15 minit. Jangan sesekali berkongsi makanan atau perkakas untuk makan,” katanya.

Paling penting tambahnya kekalkan jarak fizikal pada setiap masa. “Jika anda berasa kurang sihat walaupun hanya mengalami gejala ringan, sila asingkan diri anda daripada orang lain.

“Berjumpa doktor dengan segera dan dapatkan saringan Covid-19 secepat mungkin. “Anda merupakan barisan hadapan keluarga anda, jangan membuat perjalanan merentas daerah jika tiada urusan yang penting.

“Sayangilah ahli keluarga dan rakan-rakan anda. “Kita masih boleh terus meraikan Tahun Baharu Cina bersama-sama pada tahun akan datang namun memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” ujarnya lagi.

Suara Sarawak