Jangan benarkan orang luar di DUN Sarawak

KUCHING: Sarawak tidak harus membenarkan orang luar untuk bertanding sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen di negeri ini.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Ahmad Ibrahim berkata jika itu berlaku, maka Sarawak akan kehilangan hak ke atas kawalan imigresen.

“Kalau ini berlaku, bermakna kita membenarkan orang Semenanjung berhijrah ke Sarawak secara bebas.

“Kita akan hilang banyak dalam masa yang singkat, 2.8 juta rakyat Sarawak berbanding 25 juta orang lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Exco Saberkas Sarawak menegaskan semua pihak khususnya Pakatan Harapan (PH) Sarawak harus bersama-sama melindungi apa yang Sarawak sudah ada dan tidak mencairkannya lagi.

“Kenapa kita mahu mengimport kemungkinan pandangan yang melampau dari Malaya dan memupuk masyarakat Sarawaj yang liberal dan terbuka.

Datuk Ahmad Ibrahim

“Kita sudah terkenal di seluruh Malaysia atau di luar sebagai sebuah negeri yang harmoni dengan masyarakat berbilang budaya saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dato Sri Dr Sim Kui Hian sebelum ini mempersoalkan mempersoalkan niat DAP Sarawak selepas parti itu menyatakan “kekecewaan” atas keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan Dr Ting Tiong Choon sebagai ADUN Pujut.

“Adakah pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen cuba mencadangkan supaya kerajaan membenarkan rakyat bukan Sarawak berkhidmat di DUN?

“Saya tertanya-tanya apakah ada agenda tersembunyi di kem PH untuk menggunakan DAP Sarawak mencari cara bagi membuka peluang supaya orang bukan Sarawak mewakili kita di DUN, ini bukan untuk kepentingan kita tetapi untuk kepentingan politik mereka,” katanya.

Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa DUN Sarawak mempunyai kuasa untuk membatalkan kelayakan Ting kerana mempunyai dua kewarganegaraan.

Justeru, Ahmad berkata Chong dan PH Sarawak seharusnya menunaikan segala janji mereka kepada Sarawak semasa Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

“Sampai hari ini tidak ada apa-apa yang mereka lakukan. Rakyat Sarawak tahu dan telah mendengar janji mereka tetapi apa yang berlaku sekarang, kita mendengar hanya alasan.

“Apa yang dikehendaki oleh rakrat Sarawak adalah keputusan,” katanya.

Suara Sarawak