Jangan beri DUN Sarawak kepada PH

KUCHING: Kuasa Imigresen Sarawak bakal dihapuskan jika Pakatan Harapan (PH) memerintah kerajaan negeri.

Ini peringatan Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof kepada rakyat Sarawak jika memberikan kuasa kepada PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

“Yang lebih penting jangan sesekali memberi mereka (PH) masuk Sarawak…ini jihad perjuangan kita.

“Bayangkan kalau mereka dapat menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN), yang pertama sekali dihapuskan adalah kuasa imigresen kita. Orang akan bebas keluar masuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bagi menyempurnakan penangguhan Seminar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Peringkat Parlimen Santubong di Pusat Konvensyen Penview di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menegaskan PRN Sarawak yang akan datang adalah sangat penting dalam menentukan masa depan rakyat dan negeri ini.

Menurut beliau, Sarawak sudah kehilangan banyak hak dan kuasa yang termaktub dalam MA63 dan untuk berjuang mengembali dan mempertahankannya, rakyat Sarawak harus bersatu bersama GPS.

Tegasnya GPS di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tidak akan berkompromi dengan mana-mana usaha kerajaan persekutuan untuk mengkhianati MA63.

“Sebab itu kami mahu MA63 dimasukkan dalam pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan supaya kita benar-benar dapat berjuang mempertahankan hak Sarawak dan hak rakyat Sarawak.

“Itu sebenarnya perjuangan kami…biarlah orang mengatakan kami pengkhianat, yang penting pengkhianat inilah yang memperjuangkan hak dan nasik rakyat dan negeri Sarawak,” katanya.

Justeru, katanya rakyat Sarawak harus memahami dan menyokong perjuangan GPS dalam memperjuangkan MA63 serta tidak mudah terpengaruh dengan dakyah PH sebagai pembangkang di Sarawak.

“Sebab itu, semua pemimpin akar umbi GPS harus menjelaskan mulai sekarang mengenai perjuangan kita kerana pembangkang akan berjalan menyebarkan cerita-cerota yang tidak benar.

“Kalau kita tidak menjelaskan perkara ini kepada akar umbi, bayangkan apa yang berlaku jika PH menguasai DUN Sarawak,” katanya.