Jangan berpolitik ketika rakyat ditimpa musibah

KUCHING: Penerbitan kenyataan palsu yang menimbulkan kebencian dan salah faham terhadap pemimpin GPS harus dihentikan segera kerana ia menghalang usaha Kerajaan Sarawak dalam memerangi Covid-19.

Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Michael Tiang ketika memberi amaran demikian berkata, kenyataan palsu terhadap pemimpin negeri berniat jahat.

“Pemimpin negeri kita banyak kali mengingatkan bahawa permainan politik harus diketepikan. Sekarang ada perkara lebih besar yang perlu kita urus.

“Lebih penting memerangi Covid-19 bersama-sama,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Justeru Ketua Pemuda SUPP itu telah membuat laporan polis pada Ahad ke atas posting Facebook berjudul “Sarawak Largest Voice Society” pada 11 April lalu dalam bahasa Mandarin.

Artikel itu mendakwa GPS masih bermain politik dalam mengekang Covid-19, dengan mendakwa dana RM800,000 Covid-19 bagi kawasan pembangkang iaitu Padungan, Pending, Batu Lintang dan Kota Sentosa dikawal Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian.

Ia menyebabkan kawasankawasan berkenaan tidak menerima sebarang bantuan makanan dan wakil rakyat DAP terpaksa menggunakan wang sendiri untuk membeli bekalan dan sukarelawan mengambil risiko dijangkiti untuk mengedarkan bekalan kepada penduduk di kawasan tersebut.

Tiang berkata, kerajaan berulang kali menjelaskan bahawa dana untuk bantuan bekalan makanan disalurkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana bagi setiap daerah yang dipengerusikan oleh Residen dan Pegawai Daerah.

Tegas beliau, tidak ada Adun, sama ada GPS atau pembangkang boleh menerima pembiayaan untuk bantuan makanan tersebut.

“Ini adalah masa untuk Sarawak bersatu melawan Covid-19 dan menyelamatkan nyawa. “Kerajaan Sarawak mengambil langkah menyediakan pelbagai pakej bantuan untuk golongan yang memerlukan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Ini bukan masa untuk merosakkan reputasi menteri bagi mendapatkan kepentingan diri tetapi ini adalah masa untuk meraih kemenangan ke atas Covid-19.

“Kita perlu bersatu di Sarawak bagi mengelakkan situasi seperti yang dialami Itali, Sepanyol dan Amerika Syarikat,” tegasnya.

Tiang mendesak semua pihak yang menyebarkan kenyataan palsu dan jahat seperti itu untuk berhenti dan menumpukan perhatian tinggal di rumah serta melakukan sesuatu yang berfaedah bagi menyokong barisan hadapan yang mempertaruhkan nyawa mereka setiap hari bagi melawan pandemik ini.

Suara Sarawak