ARTIKEL

DITERUSKAN... Operasi mencari dan menyelamat mangsa diteruskan yang memasuki hari kelapan semalam.

Jangan biar kami lama menunggu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Kembalilah dalam apaapa jua keadaan, saya di sini setia menunggu,” luahan menyayat isteri mangsa bot karam di Sungai Batang Baleh Kapit, Anis Nur Ezzati yang reda dengan ketentuan Ilahi.

Terus setia menunggu tanpa lelah, menangis menahan kerinduan, memujuk hati supaya berdamai dengan takdir – Anis terus mengharap jasad suaminya kembali walau dalam apa-apa keadaan sekalipun.

Anis yang merupakan isteri Konstabel Iskandar Ibrahim, berharap agar pencarian suaminya yang merupakan seorang daripada lima individu karam di Sungai Batang Baleh berdekatan jeti SK Lepong Baleh pada 7 Mac lalu, menemui titik noktah.

Sejak bot yang membawa suaminya bersama-sama lima penumpang lain karam pada Khamis lalu, Anis sentiasa berkongsi hantaran serta perkembangan dan menitipkan doa agar suami tersayang dijumpai. 

“Pencarian suamiku untuk hari kelapan diteruskan hari ini.

Untuk makluman, segala ikhtiar telah kami lakukan sebagai mana yang diberi oleh orang sekeliling kami. 

“Tetapi takdir Allah tiada satu orang pun yang dapat menduga. Pencarian suami saya masih tiada titik noktah.

Saya sebagai isteri akur dan reda dengan segala ketentuan,” katanya dalam catatan di Facebooknya, semalam. 

Semalam, memasuki hari kelapan pencarian anggota polis berusia 28 tahun berasal dari Kelantan itu.

Baca lain  Bawang Assan terima Projek RTP bernilai RM3 juta

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) melakukan pelbagai kaedah, termasuk penyertaan Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.

MASIH HILANG… Mangsa terakhir Konstabel Iskandar Ibrahim masih belum ditemui sejak bot dinaikinya karam pada 7 Mac lalu.

Anis yang mendirikan rumah tangga dengan Iskandar pada 14 Julai 2022, dalam pada itu memohon orang ramai di seluruh negara untuk bersama-sama mendoakan agar anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kapit itu berjaya dijumpai.

“Ya Allah, pertemukanlah aku dengan suamiku.

Saya masih setia menunggu awak B.

Harapan saya masih sama macam hari pertama, semoga awak kuat untuk saya dan orang sekeliling. 

“Saya minta jasa baik anda semua jangan pernah berhenti doakan dia, doakan supaya Allah pulangkan dia pada kami walau sekalipun keadaannya.

Mohon semua jangan berhenti doakan syurga saya ini.

“Permudahkanlah urusannya, angkatlah segala kesakitannya.

Minta jasa baik warga maya jangan berhenti berdoa untuk Iskandar Zulkarnain,” ujarnya penuh pengharapan.

 Sementara itu, hantaran di Facebook kakak Iskandar, Idawati Norziana Ibrahim petang semalam turut berkongsi kesedihan yang sama, menyambut bulan Ramadan tanpa adik tersayang.

Lebih menyentuh hati, perkongsian tersebut disertakan dengan gambar ibu dan ayah mereka berada di lokasi kejadian bot karam, di tebingan Sungai Batang Baleh berdekatan jeti SK Lepong Baleh, Kapit, besar harapan ada berita baik mengenai penemuan mangsa. 

Baca lain  18 gelandangan di Bintulu terima vaksin Cansino

“Tiga Ramadan. Kasih ibu dan ayah sepanjang hayat. Ma dan abah, kak Izan Elyana Ibrahim dan adik Iffah Adlina ke tempat kejadian.

“Semoga ada rezeki kami hari ini untuk menemui adik saya Iskandar Zulkarnain,” katanya dalam hantaran itu. Idawati dalam hantaran pada hari sebelumnya turut berkongsi gambar ibunya, berdiri di tebingan sungai dan merenung jauh dengan pandangan penuh pengharapan.

 “Hati seorang ibu yang kehilangan anaknya.

Ya Allah, berikan kekuatan dan ketabahan untuk ibu ku.

Apa pun keadaan, ma akan tetap menyambutmu adik. Baliklah, jangan membuat mama menunggu lama lagi.

“Adik saya masih belum ditemui, ujian berat untuk keluarga kami sekarang.

Sabarkanlah kami dengan ujian ini dan permudahkanlah segalanya,” katanya.

 Semalam, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak berkata, pencarian diteruskan bermula dari lokasi terakhir mangsa dilihat iaitu berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Baleh sehingga Kapit.

Dalam kejadian itu pada jam 5.45 petang Khamis itu, bot yang dinaiki lima penumpang itu ketika kejadian sedang membelok sedikit ke kiri menghala ke hulu sungai dan terlanggar air sungai yang berpusar, menyebabkannya terbalik dan karam.

Baca lain  Pesta Buku Kuching 24 hingga 27 November ini

Seorang mangsa Moses Ngui, berjaya diselamatkan oleh orang awam, manakala empat lagi termasuk dua anggota polis hilang dihanyutkan arus deras. 

Kejadian mengejutkan negara itu melibatkan dua anggota polis dari IPD Kapit, iaitu Iskandar (Cawangan Senjata) dan Sarjan Jonathan Lambet (Cawangan Kebajikan) yang dalam perjalanan dari Kuching ke Nanga Tulie, bagi mengiringi bahan letupan seberat 35 kilogram dan detonator. 

Setakat semalam, tiga mangsa sudah ditemui. Pada 9 Mac, dua mayat ditemui iaitu Jack Balan yang ditemui terapung oleh anggota polis di Pulau Kerto, Sibu pada jam 10 pagi.

Mayat kedua, Sarjan Jonathan Lambet pula ditemui terapung oleh anggota bomba pada jam 4.02 petang hari sama, kira-kira lima kilometer dari lokasi bot karam di Sungai Batang Baleh.

Mayat ketiga iaitu Amerson John Nain, pula ditemui terapung di Sungai Batang Lebaan, Sibu, pada 10 Mac lalu.

Operasi SAR di kawasan terbabit berdepan kesukaran kerana cabaran arus deras.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU