ARTIKEL

Jangan biarkan api kian membara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

PADA 13 Mac 2024 lalu, tular di media sosial berkaitan stoking tertera kalimah Allah yang dijual di sebuah kedai serba guna, KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik oleh pengguna.

Isu ini terus mencetuskan perdebatan yang luas dan hangat dalam konteks kebebasan berekspresi, sensitiviti agama dan tatanilai sosial di negara ini. 

Persoalannya, perlukah kita terus menyemarakkan api kemarahan dalam kalangan rakyat?

Perlukah kita menyiram minyak ke dalam api yang kian membara? 

Umat Islam menganggap bahawa produk atau perilaku yang dianggap menghina agama mereka adalah suatu bentuk penistaan atau penghinaan agama yang harus ditentang dengan keras. 

Itulah sebabnya ada pemimpin politik termasuk Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dan pihak tertentu menganjurkan diadakan protes, boikot atau tindakan lain.

Tujuannya untuk menunjukkan ketidaksetujuan terhadap KK Mart yang dianggap melakukan pelanggaran terhadap nilai-nilai keagamaan. 

Adakah rakyat Malaysia, termausk umat Islam bersetuju dengan tindakan beliau itu supaya syarikat terbabit memasang permohonan maaf di semua daripada lebih 800 cawangannya? 

Apa motif Akmal? Mahu menjadi hero, memuaskan ego peribadi dan keuntungan politik?

Atau memang benar beliau memperjuangkan kepentingan Islam waima terus merosakkan hubungan kaum dan agama serta perpaduan di negara ini? 

Pemimpin politik tentu tahu di mana sempadannya untuk mereka terus berteriak tentang sesuatu isu.

Bukankah Islam menganjurkan kesederhanaan dan supaya memaafkan kesalahan orang lain.

Ya, lebih-lebih lagi dalam kes ini ia memang kekhilafan yang tidak disengajakan langsung.

Baca lain  Percaturan PSB dalam politik Sarawak

Adakah ahli perniagaan atau syarikat yang mahu mensabotajkan atau merugikan perniagaannya sendiri?

Sebaliknya, ada juga kelompok yang memilih untuk bersikap supaya kita lebih toleran dan memaafkan pihak yang melakukannya, apatah lagi pemilik syarikat telah memohon maaf.

Banyak dalil dalam al-Quran atau hadis tentang perlunya memaafkan kesalahan orang lain yang dapat menjadi pedoman kita semua. 

Golongan ini berpendapat bahawa reaksi yang terlalu ekstrem atau berlebih-lebihan terhadap isu semacam ini dapat memicu konflik dan ketegangan yang lebih besar.

Bagaimanakah pihak pemerintah harus menangani isu ini?

Haruskah berdiam diri atau tunduk kepada kenyataan dan tindakan melampau yang disarankan oleh segelintir individu?

Atau harus bersikap sederhana dengan menganjurkan supaya kita “move on”, dan tidak terus terjebak dalam isu berkenaan secara berlarutan. 

Akhirnya, imej negara juga tercalar dan hubungan kaum dan agama semakin terjejas. 

Dalam menghadapi isu semacam ini, penting untuk mencari jalan penyelesaian yang menghormati kebebasan berekspresi sekali gus menghindari pelanggaran yang dapat merosakkan kesatuan sosial dan kesepaduan antara penganut pelbagai agama.

Sesungguhnya, penting untuk mempromosikan dialog antara penganut berbeza agama, pemahaman yang lebih baik tentang nilai-nilai yang saling dihormati, dan pendidikan yang mendorong toleransi dan menghargai serta meraikan perbezaan. 

Pendidikan tentang kebebasan berekspresi yang bertanggungjawab dan sensitiviti terhadap agama dapat membantu mengurangi konflik dan ketegangan yang muncul akibat isu sedemikian.

Kita perlu menangani isu ini dengan kepala dingin dan bukannya dengan hati panas menggelegak.

Baca lain  Asfalt pun meleleh

Maksudnya, kita perlu bersikap rasional dan munasabah dengan tidak bersikap melampau dalam kenyataan atau tindakan yang kemudiannya akan membawa mudarat lebih besar.  

Persoalan asas ialah, adakah pelakuan itu dibuat dengan sengaja untuk menghina agama Islam?

Atau adakah ia kesilapan yang memang tidak disengajakan, yang sebenarnya di luar daripada kawalan syarikat terbabit? 

Bukan susah untuk mengenal pasti perkara ini.

Jika memang jelas bahawa ia disengajakan untuk menghina, maka memang wajar tindakan keras diambil sesuai dengan undang-undang terbabit. 

Di negara ini ada undang-undang dan peraturan yang mengatur ekspresi yang dapat dianggap melecehkan atau menghina agama.

Penggunaan simbol keagamaan dengan cara yang tidak sesuai atau melecehkan dapat dianggap sebagai pelanggaran hukum. 

Justeru, kerajaan dan lembaga hukum memiliki peranan penting dalam menangani isu-isu ini dengan adil dan sesuai dengan undangundang sedia ada. 

Tindakan telah pun diambil terhadap pemiliknya dengan mengheret mereka ke mahkamah.

Pengarah Eksekutif Kumpulan KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Shah Alam pada Selasa lalu atas dua pertuduhan melukakan perasaan agama orang Islam.

Mengikut semua pertuduhan, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd berniat dengan sengaja melukakan perasaan agama orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah.

Pihak berwenang, seperti pemerintah dan lembaga hukum, juga dapat terlibat dalam mengelola isu ini.

Baca lain  Pengundi pegang kad prestasi YB

Kerajaan harus menjaga keseimbangan antara melindungi kebebasan berbicara dan berekspresi dengan memastikan bahawa tidak ada yang merasa tersinggung secara berlebihan atau terjadi provokasi yang dapat membahayakan ketertiban umum.

Reaksi ekstrem terhadap isu KK Mart juga tercermin dalam media, pendapat umum dan wacana yang berlegar khususnya di media sosial.

Memang ada yang terbawa-bawa dan begitu emosional.

Mereka ini gagal mengendalikan emosi dengan baik.

Berita, artikel dan ulasan di media sosial sering kali menjadi tempat perdebatan dan pernyataan sikap yang keras terhadap isu ini.

Isnin 25 Mac 204 lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 178 laporan di seluruh negara berhubung kes ini.

PDRM turut menerima 30 laporan mengenai ketidakpuasan hati terhadap hantaran melalui Facebook mengenai isu sama.

Bagi saya, kita tidak harus membiarkan isu ini terus berlarutan sehingga gagal untuk dikendali dan dikawal.

Jika tidak ia akan memudaratkan semua pihak, termasuk hubungan kaum dan agama serta mungkin juga pelaburan asing. 

Sebagai kesimpulan analisis isu KK Mart yang berkaitan dengan isu Allah memperlihatkan kompleksiti dalam mengelola kebebasan berekspresi, sensitiviti agama dan tatanilai sosial.

Pendekatan yang bijaksana, dialog terbuka, sikap rasional dan tidak keterlaluan, serta penegakan undang-undang yang adil diperlukan untuk menjaga keseimbangan antara kebebasan berekspresi dan penghormatan terhadap nilai-nilai keagamaan dalam masyarakat yang beragam.

• Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

BERITA LAIN

Langit terbuka

MELETUSNYA Semeru di Jawa Timur dua hari lepas melimpahkan lahar sejuk di persekitaran, membawa hujan dan banjir sekitar Lembangan Sungai Regoyo. Pemindahan melibatkan 32 keluarga sekadar

Kenangan raya terkurung, terkejut

JIKA ditanya mengenai tempoh paling menyeronokkan menyambut Hari Raya Aidilfitri, sudah pasti kebanyakan kita akan memilih zaman kanak-kanak. Apa tidaknya, ketika itu kita tidak perlu

Raya terakhir kami?

SEMALAM ibu sahabat saya pergi di depan mata. Saya di sana, saya melihat bagaimana anaknya cuba menyelamatkan ibu mereka hingga ke titik terakhir. Namun, apabila

Obesiti selepas raya

PASTI ada yang kembali buncit pada hari raya kesembilan (hari ini), malah ada yang lebih besar kebuncitannya. Ia berpunca daripada pengambilan makanan berlebihan sejak raya

Jangka hayat, kematian semakin dekat

ADAKAH anda bersedia untuk mati? Adakah anda bersedia untuk meninggalkan legasi? Sekurang-kurangnya mendidik atau mempersiapkan pengganti untuk syarikat, pertubuhan dan sebagainya, termasuk dalam urusan pentadbiran.

Rayakan sebulan

HARI ini hari ketujuh kita menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sik berasa, terutama bagi golongan muda. “Lom puas beraya, dah mula bersekolah.” Antara dialog yang kita

BERITA TERBARU