Jangan buang punca api sembarangan

SARIKEI: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka berikutan keadaan cuaca panas dan kering sejak kebelakangan ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Mahmudin Narudin berkata, semua pihak perlu prihatin dengan mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi perubahan cuaca tersebut.

Menurutnya, pembakaran terbuka yang tidak terkawal perlu dihentikan terutama di kawasan tanah gambut ketika musim kering.

“Dalam keadaan cuaca sekarang, api mudah merebak. Saya mohon kerjasama orang ramai untuk mengelak membuang punca api merata-rata tempat.

“Jangan melakukan pembakaran terbuka yang boleh menjadi punca kebakaran,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Tahun lalu, Bomba Sarikei menerima aduan sekurang-kurangnya 20 kes dalam tempoh lebih sebulan bermula awal Ogos hingga pertengahan September.

Kebanyakan kes membabitkan belukar dan hutan di kawasan seluas kira-kira 25 ekar di seluruh daerah ini. Mahmudin menjelaskan, sebahagian besar kes terbabit berpunca daripada pembakaran terbuka yang tidak dikawal.

“Bagaimanapun, hasil kecekapan anggota, kami berjaya mengawalnya, sekali gus mengelak kemusnahan yang lebih besar,” katanya.

Dalam kejadian terkini, Bomba Sarikei menerima satu aduan kebakaran belukar di kawasan perumahan Jalan Sakam Sarikei, Ahad lalu.

Bagaimanapun jelasnya, kebakaran sekitar jam 4.30 petang itu sempat dipadam selepas disedari penduduk setempat sebelum menghubungi bnomba untuk mendapatkan bantuan.

“Jangan buang punca api seperti puntung rokok ke kawasan belukar atau hutan,” katanya.

Suara Sarawak