Jangan campur aduk hutang dan janji

KUCHING: Isu hutang negeri tidak sepatutnya dicampuradukkan dengan isu tidak menunaikan janji, kata Datuk Sri Fatimah Abdullah.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, Kerajaan Persekutuan seharusnya menunaikan janji untuk membantu masalah sekolah daif dengan tidak mencampurkan soal hutang.

Menurutnya, sikap Lim Guan Eng ibarat sorong papan tarik papan itu seolah-olah ingin menutup janji Kerajaan Persekutuan yang ingin membaik pulih sekolah daif di negeri ini.

“Tindakannya membawa kerugian sekiranya terus berlaku.

Sepatutnya beliau harus berterus terang dalam memberi bantuan kepada sekolah daif di negeri ini,” katanya.

Fatimah turut menegaskan bahawa masalah sekolah daif yang dihadapi masih tidak beransur berbanding dahulu.

“Akibat daripada tiada proses pemulihan terhadap sekolah daif, pelajar di sekolah berkenaan tidak dapat belajar dalam keadaan yang kondusif.

“Mana semangat Malaysia? Kerajaan Persekutuan sepatutnya membantu masalah sekolah daif dengan tidak mencampurkan isu hutang.

“Isu hutang lain seharusnya tidak dikaitkan. Apa yang lebih mustahak ialah janji yang diberi haruslah ditepati,” katanya.

Suara Sarawak