Jangan cari populariti murahan

KUCHING: Tidak perlu mencari populariti murahan jika tidak menyumbang apa-apa untuk membantu rakyat ketika penularan wabak Covid-19, kata Datuk Wee Hong Seng.

Datuk Bandar Kuching Selatan itu berkata, MBKS sentiasa meneruskan usaha mereka untuk memastikan keselamatan komuniti di sekitar kawasan mereka terjamin.

“Kami berusaha sebaik mungkin untuk membantu tetapi pengusaha premis perlu faham dan mengikut segala arahan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada MBKS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pemerolehan Premis Qmunity di Lebuh India di sini, kelmarin.

Ketika melawat ke Pusat Penjaja Kenyalang pada 2 Ogos lalu, Adun Pending Violet Yong Wui Wui meminta supaya MBKS menugaskan kakitangan berada di pusat tersebut untuk membantu memeriksa suhu dan mengambil maklumat orang awam yang berkunjung ke pusat tersebut.

Katanya, dalam satu kenyataan, penjaja dan orang awam perlu berasa selamat ketika di pusat penjaja itu dan menyoal sama ada MBKS mengambil perhatian perkara tersebut.

Hong Seng menjelaskan sekiranya MBKS melakukan seperti yang dicadangkan oleh Violet, maka kakitangan yang dihantar ke Pusat Penjaja Kenyalang atau tempat lain harus bekerja dari pagi, tengah hari hingga tengah malam.

“Bagi kami ia cukup mudah. Kami tidak mampu membelanjakan wang awam untuk menambah kakitangan dalam mengurus semua gerai makan di pusat penjaja.

“Bagi mereka yang mengendalikan gerai makan, penjaja harus dapat melakukan sendiri pemeriksaan suhu badan pelanggan atau bekerjasama dengan pihak lain.

“SOP untuk diikuti oleh pengusaha dan bukan sebaliknya,” ujarnya. Sementara itu, Pengerusi Pasar dan Peniaga Kecil MBKS Kaunselor Goh Tze Hui berkata, sekiranya mereka melakukan seperti yang dicadangkan oleh Violet, maka ia memerlukan lebih ramai kakitangan.

“Terdapat tujuh pusat penjaja di bawah MBKS, ia agak mustahil untuk kesemua kakitangan kami berada di setiap pusat penjaja. “Justeru penjaja gerai makan sendiri perlu memeriksa suhu dan maklumat pelanggan mereka sendiri. “Ini adil kerana tidak banyak pintu masuk dibenarkan untuk dibuka di pusat penjaja,” tambahnya.

Bagaimanapun untuk pasar basah, mereka tidak dapat melakukan perkara yang sama kepada penjaja dengan membiarkan mereka memeriksa sendiri suhu badan pelanggan.

“Ini akan membuang masa pelanggan selain menyebabkan penjaja pasar basah dan pelanggan tidak selesa dengan keadaan tersebut,” ujarnya.

Suara Sarawak