Jangan cari untung, nyawa melayang. Ini amaran keras, jangan buka, kalau tak penting!

SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) mengingatkan premis yang berkhidmat dalam sektor tidak penting untuk ditutup ketika pelaksanaan PKP di hari pertama, hari ini.
Pengerusinya Clarence Ting Ing Horh memberi amaran keras mengenai tindakan yang akan diambil kerana terdapat beberapa premis perniagaan dan syarikat jualan yang berkhidmat dalam sektor tidak penting didapati beroperasi walaupun sudah diingatkan sebelum ini.
“Ya, terdapat beberapa premis berkenaan telah diberikan amaran oleh polis serta diarahkan ditutup dengan serta-merta.
“Saya menggesa pengusaha atau pemiliknya yang terlibat dalam sektor tidak penting supaya tidak membuka premis mereka sepanjang PKP ini,” tegas beliau ketika ditemui pemberita ketika memantau premis-premis di bandar ini pada hari pertama PKP di sini sebentar tadi.
Ting mengingatkan bahawa nyawa warga Sibu ketika ini lebih penting daripada perniagaan.
“Jangan cari untung, nyawa melayang. Kerjasama ramai warga Sibu amat diperlukan dalam membantu kerajaan memutuskan rantaian penularan Covid-19 yang membabitkan Kluster Pasai yang sangat digeruni seterusnya menjadi kluster terbesar di Sarawak setakat ini berbanding kluster-kluster sedia ada di negeri ini.
Tegasnya, tujuan pelaksanaan PKP adalah untuk menghentikan pergerakan orang atau mengawal pergerakan warga Sibu untuk tidak terlalu bebas ke sana ke sini.
“Saya menggesa semua premis perniagaan atau syarikat yang terlibat dalam sektor tidak penting untuk ditutup sepanjang 14 hari PKP ini.
“Buat masa ini, fikirkan keselamatan pekerja anda dan risiko mereka ketika bekerja pada waktu PKP ini. Ingatlah mereka adalah aset terpenting anda untuk berjaya. Jaga mereka,” katanya.