Jangan cuba cabuli hak orang Sarawak

LAWAS: Hak Sarawak harus dikekalkan daripada terus terhakis dan dicabuli oleh orang luar, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg. Katanya, mempertahankan hak Sarawak merupakan janji menifesto yang diperjuangkan mantan Ketua Menteri Pehin Sri Adenan Satem.

“Perjuangan beliau kita teruskan dan kita berjaya melakar beberapa kejayaan sehingga kini. “Kita terus pertahankan hak kita yang terhakis. Tahun pertama saya menjadi Ketua Menteri, kita berjaya ambil alih Empangan Bakun daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kita letak di bawah Kerajaan Sarawak. Sekarang Empangan Bakun dipunyai oleh orang Sarawak,” katanya ketika Majlis Pelancaran GPS Zon Lawas, baru-baru ini. Abang Johari menjelaskan, hak negeri ini dipertahankan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Tegasnya, tiada tolak ansur serta rundingan akan dibuat jika melibatkan hak-hak negeri Sarawak. “Antaranya yang tidak boleh dirundingkan ialah hak atas imigresen. Siapa datang ke Sarawak mesti ada pasport. “Sudah ada cubaan untuk mengambil hak Kanun Tanah Negeri yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. “Terdapat bunyi-bunyi untuk menggabungkan perundangan tanah Sarawak dengan perundangan tanah negara.

“Ini merupakan perkara yang tidak akan dirunding kerana iahak Sarawak di bawah MA63. “Saya telah perjelas perkara ini dalam mesyuarat MA63. Itu yang pasti,” jelasnya.

Berhubung isu naik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan kata Abang Johari, Kerajaan Sarawak tidak ada masalah membantu menaik taraf kompleks berkenaan di mana-mana sempadan negeri.

Bagaimanapun katanya lagi, usaha itu perlu memperoleh kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan. “Saya beritahu terus terang, usaha ini berkaitan Kerajaan Persekutuan. “Saya nak buat boleh… tetapi ia di bawah kelulusan orang sana. Kita tiada masalah untuk melaksanakan,” katanya.

Suara Sarawak