Jangan cuba rentas daerah untuk beraya mahupun bergawai

KUCHING: Sebanyak 140 buah kenderaan diarahkan berpatah balik dan 38 kompaun dikeluarkan atas kesalahan cuba merentas daerah tanpa kebenaran sepanjang dua hari sambutan Hari Raya Aidilfitri di seluruh Sarawak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata pada Hari Raya pertama (24 Mei), sebanyak 101 buah kenderaan telah diarahkan berpatah balik dan 23 kompuan dikeluarkan.

Manakala hari Hari Raya kedua (25 Mei), sebanyak 39 buah kenderaan diarahkan berpatah balik dan 15 kompaun dikeluarkan.

“Amaran saya jangan fikir boleh terlepas sekatan jalan raya kerana sekiranya dapat melepasi masa pergi, masa balik mereka pasti ditahan kerana pihak polis mempunyai senarai kenderaan yang telah dibenarkan dan mana yang tidak,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Selain itu, Aidi berkata dalam tempoh sama, pihaknya juga berjaya melakukan tangkapan ke atas seramai 27 orang atas kesalahan berjudi dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Katanya 18 orang ditangkap pada Hari Raya pertama dan sembilan orang pada hari kedua.

Justeru, beliau berharap orang ramai akan terus patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan tidak balik kampung untuk menyambut Hari Raya mahu pun Hari Gawai tidak lama lagi.

Katanya polis akan terus mengadakan pemantauan sehingga ke kampung dan taman perumahan bagi mengesan jika ada yang berkumpul lebih daripada 20 orang.