Jangan dengar kritikan negatif

BAU: Lebih 15,000 penduduk di Daerah Bau mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, kata Adun Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep.

Menurutnya, sambutan yang diterima setakat ini sangat positif dan berharap ramai penduduk mendaftar bagi mendapatkan vaksin percuma tersebut demi kesejahteraan bersama.

“Bau mempunyai populasi penduduk sekitar 62,000 orang, daripada jumlah itu kita menyasarkan 40,000 orang mendaftar bagi menerima suntikan vaksin kerana sebahagian mungkin memilih untuk mendapatkanya di Kuching atau melalui jabatan masingmasing.

“Justeru, tidak perlu risau mengenai suntikan ini walaupun kita lihat banyak komen negatif daripada netizen di sosial media kerana vaksin ini mengatasi segala-galanya dengan kesihatan manusia lebih penting.

“Malah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mengambilnya pada Rabu dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijangka mendapatkan suntikan vaksin pada Jumaat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program pengagihan pelitup muka bagi kawasan Bau di Pekan Tasik Biru, di sini, pada Khamis.

Henry turut memaklumkan akan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 pada Sabtu ini di Klinik Kesihatan Singai Bau bersama-sama Adun Serembu Miro Simuh dan Pegawai Daerah Bau Aniella Siam.

Mengulas mengenai program, katanya, ia sebahagian kempen kesedaran awam mengenai pentingnya vaksin dalam usaha melindungi diri sekali gus mengawal penularan Covid-19.

Program itu anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Malaysia dengan kerjasama Pusat Khidmat Tasik Biru dan 500 kotak pelitup muka diagihkan kepada penduduk.

Sementara itu wakil KPKT Voon Shiak Ni berkata, antara tujuan program untuk berkongsi maklumat dengan komuniti tempatan mengenai pentingnya vaksin dan ia merupakan antara cara memutuskan rangkaian wabak tersebut.

“Hari ini kita turut membawa beberapa orang sukarelawan yang sudah menerima vaksin bagi berkongsi pengalaman supaya mencetus kesedaran penduduk,” jelasnya.

Pada 21 Februari lalu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengumumkan Kerajaan Sarawak menerima pendaftaran untuk vaksinasi Covid-19, Pfizer- BioNTech menerusi Pejabat Daerah dan klinik kesihatan.

Selain itu, rakyat Sarawak juga boleh mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera dan merujuk ketua kampung serta tuai rumah yang bekerjasama dengan Pejabat Daerah dan klinik untuk menjayakan proses itu.

Suara Sarawak