Jangan hantar anak ke sekolah jika bergejala

MIRI: Ibu bapa dinasihati agar tidak mengambil risiko menghantar anak ke sekolah sekiranya anakanak mereka mempunyai simptom jangkitan Covid-19.

Menteri bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata, mereka perlu perpandukan prosedur operasi standard (SOP) pejabat pendidikan saerah dan pihak pentadbiran sekolah masing-masing.

“Sekiranya anak-anak mempunyai gejala seperti demam, batuk, sakit tekak, sesak nafas, anosmia (kehilangan deria bau), jangan menghantar anak ke sekolah!

“Bawa anak-anak ke pusat kesihatan terdekat untuk mendapatkan rawatan dengan segera dan penilaian lanjut oleh pengamal perubatan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bersama agensi di bawah JPBB Miri.

Kim Shin menambah, sekiranya salah seorang ibu bapa atau ahli keluarga isi rumah dikenali sebagai hubungan rapat dengan kes positif atau kontak rapat dan dikuarantin oleh Jabatan Kesihatan, ibu bapa dinasihati mengambil langkah dengan tidak menghantar anak ke sekolah.

“Tunggu sehingga keputusan rT-PCR negatif sebelum menghantar anak-anak ke sekolah, ibu bapa boleh menghubungi pihak pentadbiran sekolah untuk menerangkan situasi terbabit,” tegasnya.

Mengulas mengenai Kluster Pujut Satu, Kim Shin berkata, ia adalah kluster tempat kerja yang dikesan melibatkan polis bantuan di Sesco Pujut, Jalan Sesco di Jalan Pujut Satu di Daerah Miri.

Kes indeks kluster ini melibatkan seorang lelaki tempatan (Sarawak) yang dikesan melalui saringan kontak kepada kes positif Covid-19 pada 27 Mac lalu di Hospital Sibu dan disahkan positif Covid-19 melalui ujian rT-PCR pada 29 Mac.

Kes tambahnya, mula mengalami gejala demam dan batuk pada 20 Mac serta mendapat jangkitan daripada komuniti. “Perebakan jangkitan berpunca daripada pergaulan rapat sesama ahli keluarga dan rakan sekerja kepada kes indeks ini,” jelasnya.

Dalam mesyuarat itu pula, Kim Shin yang juga Menteri Pengangkutan mengumumkan peraturan dan pencegahan Covid-19 di rumah dan tempat kerja.

Bagi peraturan semasa kuarantin di rumah, individu perlu berada di rumah sendiri, tidak dibenarkan keluar melainkan situasi kecemasan dan menjaga penjarakan fizikal daripada ahli keluarga yang lain.

Di samping itu, sentiasa menggunakan pelitup separuh muka, makan berasingan dengan ahli keluarga lain serta tidak menerima pelawat dalam tempoh kuarantin.

Bagi pencegahan di tempat kerja pula, mereka perlu mendeklarasi kesihatan setiap hari sebelum bekerja dan menggunakan aplikasi MySejahtera untuk mengimbas kod QR.

Selain itu, perlu melakukan pemeriksaan suhu badan di tempat kerja. “Jika tidak sihat dan bersimptom atau suhu melebihi 37.5 darjah celsius, jangan masuk bekerja, sebaliknya maklumkan kepada penyelia dan pergi ke fasiliti kesihatan terdekat untuk pemeriksaan,” tegasnya.

Tambah Adun Senadin itu lagi, penjarakan antara setiap pekerja juga perlu dilaksanakan dan mengelakkan amalan bersalaman, sentiasa memakai pelitup separuh muka dan mengamalkan kebersihan diri.

Suara Sarawak