Jangan jadi hero buta

PUSA: Adakah Parti Islam Se-Malaysia (Pas) mahu menjadi ‘hero buta’ projek bekalan air di kawasan Beting Maro?

Ketua Penerangan PBB Beting Maro Ramzi Rasit menyifatkan tindakan Pas yang ingin mengambil tahu soal bekalan air di Beting Maro ketika ini sebagai misi mencari populariti.

Katanya, Pas di Beting Maro selepas PRN dan PRU lalu diumpamakan hilang nafas selepas kebanyakan ahlinya beralih kepada Amanah, yang sekaligus menyebabkannya semakin mengecil.

“Tetapi peliknya, kenapa Pas Negeri muncul pada masa ini? Ibarat syok sendiri! Adakah mereka tahu musim pilihan raya sudah dekat? Pas Negeri terbukti tidak mempercayai kemampuan ahlinya di Beting Maro apabila mempertaruhkan calon luar pada PRN dan PRU lalu.

“Lebih teruk, mereka muncul secara tiba-tiba dan terus menagih projek bekalan air RM54.3 juta dengan tuduhan projek berkenaan tidak wujud.

“Kalau hendak diungkitkan, pernahkah sebelum ini mereka mengambil tahu atau memperjuangkan isu bekalan air orang Beting Maro? Ini yang patut diragui.

“Sedangkan, kalau kerajaan sedia ada baik Barisan Nasional (BN) dahulu, dan kini di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS), Kerajaan Sarawak peka berbanding Pas.

“Berhubung projek RM54.3 juta yang diumumkan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Razak lebih kurang tiga tahun lalu, Ketua Penerangan Pas Sarawak Zharudin Narudin nampaknya seperti ada mata tetapi buta, ada telinga tetapi pekak.

“Tidakkah dia tahu projek bekalan air tersebut hampir siap dan menurut sumber Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), ia akan dapat digunakan sepenuhnya menjelang Januari 2020,” katanya dekat sini, semalam.

Jelasnya, kenyataan Zharudin masih menunjukkan Pas mengamalkan politik yang ketinggalan zaman dan membabi buta.

“Corak politik populis seperti 20 tahun lalu. Mereka berani menyampaikan berita yang tidak benar tanpa rasa malu dan bersalah,” ujarnya.

“Ini cukup bertentangan dengan hasrat dan niat Pas Pusat. Baru-baru ini, Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang melakukan kunjungan ke atas Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk membincangkan mengenai usaha merapatkan persahabatan yang terjalin antara Kelantan, Terengganu dan Sarawak,” tambahnya.

Ramzi melahirkan keyakinan tindakan Pas itu tidak akan menggoyahkan sokongan rakyat terhadap GPS dengan senario Pas yang semakin ketandusan penyokong, lebih-lebih lagi mereka mengutarakan isu berbaur fitnah.

Beliau mengharapkan masyarakat tidak sewenang-wenangnya percaya terhadap sebarang dakwaan Pas yang sehingga kini sengaja mewujudkan memprovokasi berniat memburuk-burukkan.

Untuk makluman, Kementerian Utiliti tahun hadapan diperuntukan RM5.17 bilion untuk pembangunan dan penyediaan perkhidmatan utiliti di kawasan luar bandar yang mana RM2.8 bilion digunakan untuk bekalan air selain RM2.37 bilion untuk elektrik.

Menurut menterinya Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Kerajaan Sarawak turut memulakan Pelan Induk Bekalan Air Sarawak dan Air Grid yang merupakan pendekatan menyeluruh pembangunan lestari kemudahan air mentah dan terawat.

Sebagai pelan tindakan pembangunan masa depan bekalan air di Sarawak, rancangan induk akan menyediakan pelan jangka pendek (sehingga tahun 2025), jangka sederhana (sehingga tahun 2040) dan jangka panjang (sehingga tahun 2070).

Ia menyentuh tiga teras strategik melibatkan permintaan air, rawatan air dan pengedaran serta kualiti dan kecukupan air mentah dan terawat.

Pelan tersebut dijangka siap menjelang akhir tahun ini dan skim baharu yang dicadangkan dan grid air yang dikenalpasti akan dikemukakan untuk pembiayaan Sarawak untuk dilaksanakan pada RMK-12.

Suara Sarawak