KUCHING: Amat penting bagi orang ramai mendapatkan rawatan awal jika berkaitan jangkitan Covid-19, tegas Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.
Menurutnya, terdapat beberapa rekod kematian berlaku di negeri ini kerana tidak mendapatkan rawatan awal. “Amat membimbangkan apabila dua daripada enam kematian dilaporkan pada Isnin lalu tidak mendapat rawatan lebih awal.
“Jangan ambil mudah perkara ini. Tidak kisah seberapa ringan gejala anda, yang paling penting segera mendapatkan rawatan,” katanya semalam.
Tambahnya, trend kes positif di Sarawak baru-baru ini melibatkan golongan berusia 20 hingga 40 tahun yang juga mereka yang bekerja, sering bergerak ke pelbagai tempat dan mempunyai kenalan dan hubungan luas.
“Selain itu, kematian dicatatkan di negeri ini melibatkan usia tidak terlalu muda atau terlalu tua dalam lingkungan 30-an hingga 70-an.
“Mereka yang mempunyai penyakit juga banyak dijangkiti dan merekodkan kematian seperti obesiti, tekanan darah tinggi, diabetes dan kolesterol tinggi.
“Justeru, panik tidak akan membantu menyelesaikan masalah ini kerana kita memerlukan solidariti, kerjasama, pengorbanan, persefahaman, kasih sayang dan saling membantu,” katanya.
Beliau menggesa orang ramai untuk memainkan peranan masing-masing dengan pematuhan SOP yang ketat bagi memutuskan wabak Covid-19.