Jangan jemur tuala di luar premis

SIBU: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seharusnya telah meningkatkan tahap kebersihan orang awam terhadap kawasan persekitaran mereka.

Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh berkata, perubahan besar dari segi tahap kebersihan seharusnya berlaku.

Oleh itu, beliau kecewa apabila terdapat segelintir pemilik kedai salun rambut di pusat bandar ini menjemur kain tuala di luar premis perniagaan mereka.

“Apabila saya dilantik menjadi pengerusi MPS, saya pernah membangkitkan perkara ini bahawa pemilik premis salun rambut tidak dibenarkan menjemur kain di luar premis mereka.

“Kita akan berbincang dengan pihak jawatankuasa yang terbabit dan jadikan isu ini perlu diberi perhatian,” katanya di sini, kelmarin.

Menurut Ting, perkara tersebut kembali menjadi perhatiannya setelah mendapati terdapat beberapa kedai salun rambut menjemur kain tuala di luar premis mereka sewaktu beliau berjalan kaki menuju ke Tua Pek Kong dari Hotel Tanahmas, semalam.

“Apabila wabak Covid-19 melanda negara kita, orang ramai mula sedar akan pentingnya menjaga kebersihan.

“Jadi, jika kita masih mengikut cara lama, gantung tuala di luar kedai, terdedah dengan debu dan kotor… siapa mahu datang ke kedai kita?” katanya.

Oleh itu tegasnya, untuk memastikan bandar Sibu kekal bersih dan bebas daripada wabak penyakit berbahaya, semuanya haruslah bermula dari diri sendiri dahulu.

“Saya bersama-sama pasukan saya akan memastikan kebersihan bandar Sibu terpelihara.

Tetapi, usaha ini akan lebih berjaya sekiranya dibantu orang awam.

“Banyak pemilik kedai kopi mengadu mengapa pihak majlis amat tegas.

Kita bertegas kerana kita mahu orang awam mengubah tabiat lama mereka,” katanya.

Suara Sarawak