Jangan keluar rumah

DALAT: Ketua Polis Daerah Dalat DSP Saga Chunggat menasihati penduduk rumah panjang di Rumah (Rh) Simu, Rh Bihai, Rh Rangi, Rh Agup dan Rh Rantai di Daerah Dalat supaya terus patuh kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKP-P) yang diumumkan pada Isnin lalu.
Kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) semalam memaklumkan Daerah Dalat mencatatkan 17 kes positif Covid-19 berpunca dari Kluster Pasai di Sibu dengan beberapa penduduk rumah panjang terkesan.
Jelasnya menerusi arahan yang diterima daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), memaklumkan supaya penduduk rumah panjang tidak keluar meninggalkan kawasan rumah panjang masing-masing melainkan untuk kes kecemasan.
“Penduduk juga dimaklumkan juga agar untuk terus kekal di dalam rumah atau bilik masingmasing dan tidak digalakkan untuk berkunjung ke rumah panjang yang lain sehingga ada arahan baharu KKM ataupun Pejabat Daerah.
“Polis juga akan bergerak dan bertindak melakukan pengawasan serta pemantauan dari semasa ke semasa bagi tujuan keselamatan sebagaimana yang disarankan KKM,”katanya ketika dihubungi Suara Sarawak baru-baru ini.
Beliau turut berharap semua penduduk di kawasan daerah yang sama serta di sekitar untuk sentiasa bersabar dan memberikan kerjasama sepanjang tempoh ini.
Dalam pada itu, ketika dihubungi Penghulu Sebastian Sintan dari kawasan Rumah Panjang Simu memaklumkan KKM menjalankan ujian Swab kepada penduduk pada Jumaat lalu dan mendapati 17 individu dari kawasan berkenaan positif termasuk beliau sendiri dan keluarganya.
Beliau turut berkongsi, mereka yang didapati positif Covid-19 kini menjalani kuarantin di Sibu dan Bintulu sebagaimana arahan yang dikeluarkan KKM.
“Bagaimanapun untuk tempoh ini kita bersyukur Jabatan Kebajikan juga tampil menghulurkan bantuan keperluan makanan kering kepada semua rumah panjang kami termasuk rumah panjang lain yang terkesan kerana tiada pergerakan keluar dibenarkan.
“Selain itu, turut dilakukan sekatan jalan raya tidak jauh dari kawasan berkenaan oleh polis ” jelasnya lagi yang turut berharap musibah itu cepat berlalu.