ARTIKEL

Jangan kenyangkan tong sampah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KETIKA melewati bazar Ramadan di sekitar Kuching, saya melihat-lihat juadah berbuka yang dijual kebanyakannya naik harga berbanding sebelum ini.

Melihat warna-warni makanan di atas meja membuatkan saya rambang mata dan pertama kali Ramadan ini, saya membeli juadah yang dimasak termasuk kuih-muih.

Sebelum puasa saya membayangkan saya akan setiap hari ke bazar Ramadan kerana memikirkan masa untuk bermasak dan tiada lagi orang tua di rumah.

Tetapi, mungkin kerana rahmat dan berkat Ramadan, saya bertenaga untuk pastikan awal pagi sudah menyiapkan bahan untuk bermasak sebelum ke pejabat jam 2 petang dan keluar lagi jam 5.30 petang untuk balik rumah – ada masa yang cukup lama untuk saya menyediakan dua atau tiga jenis makanan sebelum berbuka jam 6.50 petang.

Tetapi hari itu, saya teringin pergi ke bazar Ramadan.

Saya membeli lima donut bergula, seri muka tiga biji yang siap dibungkus di dalam bekas dan tauhu bergedil lima ketul, juga dimasukkan di dalam bekas.

Belanja saya pada hari itu termasuk tiga jenis lauk-pauk dan air tebu sekitar RM50.

Ketika berbuka untuk hidangan tiga orang makan dicampurkan dengan sejenis lauk dan sayur yang dimasak sendiri, saya perasan ada makanan dibeli tidak disentuh langsung.

Daripada keseluruhan belanja RM50, saya agak-agak cuma RM15 sahaja yang dimakan dan RM35 lagi jadi hidangan kaku di atas meja.

Ini pandangan peribadi saya, tidak melibatkan pandangan orang lain yang berbelanja puasa.

Saya buang duit RM35 ke dalam tong sampah kerana akhirnya, makanan itu memang dibuang.

Jika setiap hari kita membuang RM35 yang tidak kelihatan di depan mata, genap 30 hari kita membuang RM1,050.

Baca lain  S’wak bankrap: Adakah Guan Eng bebal?

Membazir bukan?

Kita rakus dan tidak dapat menahan nafsu apabila menjejak kaki ke bazar Ramadan.

Kita beli dalam kuantiti yang banyak dan akhirnya mengenyangkan perut tong sampah.

Saya sendiri sebenarnya tidak suka ke bazar Ramadan kerana anak-anak tidak suka juadah yang dibeli kecuali makan terus di kedai atau restoran.

Dan, bagi saya cara itu lebih jimat – jimat dalam istilah tiada makanan yang dibuang bukan harga yang kita bayar di kedai makan.

Begitu juga jika bermasak sendiri di rumah, perlu diingat penyediaan makanan bagi berbuka puasa dan sahur antara perkara utama namun itu tidak menjadikan kita bermasak di luar keperluan.

Selera puasa kurang sedikit berbanding hari biasa cuma nafsu kita sebelum berbuka yang luar biasa. Selepas meneguk air, secara automatiknya kita tetap makan sedikit berbanding kebiasaan.

Jika anda ada anak lima enam orang yang masih berusia ‘pemakan’ atau suka makan, lebih baik masak di rumah.

Anda beruntung jika anda seorang suri rumah tangga kerana tidak perlu berebut dengan masa.

Namun bagi emak-emak, bermasak itu wajib ketika bulan puasa walaupun hanya satu jenis lauk.

Malah selepas berbuka hari ini, mereka sudah terbayang apakah menu berbuka esok hari.

Sebab itu, pentingnya perancangan masa dan pintar berimaginasi menu untuk berbuka esok, lusa dan seterusnya – antara rahsia mengelak pembaziran.

Sama seperti ibu dan isteri lain di dunia, kami akan pastikan bahan memasak, ikan atau ayam dan sayursayuran penuh di dalam peti sejuk dan boleh diguna dalam masa tujuh hari supaya senang merancang juadah.

Baca lain  Kegilaan kunjungi muzium di tangan Shahrum Yub

Harum bulak kata orang Sarawak – menu berbuka minggu depan pun kami sudah letak dalam kepala otak. Itu cara sesetengah wanita berjimat.

Dari satu segi pula, memasak merupakan terapi yang memberi ketenangan apatah lagi dari segi pahalanya dalam Islam. Orang yang paling banyak pahala puasa adalah isteri dan ibu kerana mereka yang menyediakan juadah bersahur dan berbuka puasa.

Sebanyak mana ahli keluarga yang makan masakan yang mereka masak, pahala puasa akan mereka peroleh seperti sabda Rasulullah SAW – sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, maka dia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang puasa itu, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun – hadis riwayat at-Tirmidzi.

Nampak macam biasa-biasa tetapi ibu dan isteri memperoleh pahala yang bukan kaleng-kaleng.

Sebanyak mana ahli keluarga yang makan masakan yang mereka masak, semua pahala puasa mereka itu mereka akan dapat.

Pahala puasa suami, pahala puasa anak-anak, pahala puasa mentua yang tinggal bersama.

Lagi ramai anak, lagi banyak pahala puasanya.

Jadi, ibu dan isteri jangan pernah berasa letih untuk bermasak juadah berbuka dan sahur untuk keluarga.

Namun bermasak ikut keperluan, jangan pula hendak mengejar pahala kita lupa bab membazir makanan.

Realiti, rakyat Malaysia tetap melakukan pembaziran ketika bulan puasa.

Ramadan tahun lalu sahaja, dianggarkan sebanyak 90,000 tan makanan dibuang ke dalam tong sampah di seluruh negara.

Data ini dikeluarkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan ia menunjukkan pembaziran makanan meningkat antara 15 hingga 20 peratus ketika Ramadan berbanding purata pada bulan lain.

Baca lain  Wanita penjual karipap

Ramadan sepatutnya menjadi bulan beribadat tetapi bagi sesetengah orang, ia menjadi bulan untuk menjamu selera dan membazir dalam perbelanjaan.

Kita harus elakkan pembaziran makanan sepanjang kehadiran Ramadan kerana kebanyakannya berakhir di tapak pelupusan sampah.

Untuk itu, supaya tidak membazir Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pula membuat inisiatif mengumpul lebihan makanan dan minuman tidak terjual oleh peniaga di bazar Ramadan untuk diagihkan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang memerlukan makanan.

Inisiatif itu selain mengelak budaya pembaziran, ia dilihat sebagai usaha murni dalam menangani isu kos sara hidup rakyat pada ketika ini.

Ia juga bertujuan membudayakan satu sistem pengurusan lebihan makanan yang efektif di bazar Ramadan yang mudah direplikasikan dalam mengurangkan pembaziran makanan.

Bagi orang Islam, membuang makanan merupakan satu dosa memandangkan ia menafikan makanan bagi mereka yang memerlukan sedangkan tujuan berpuasa ialah bagi merasakan kelaparan yang dialami golongan miskin dan terpinggir supaya kita mempunyai sikap empati kepada mereka.

Namun kebanyakan kita memilih untuk membazir tanpa tahu natijahnya.

Kita juga boleh membantu dengan menderma makanan tidak disentuh dengan bersedekah kepada golongan memerlukan.

Apa yang penting, kita perlu berhemat dalam berbelanja untuk makanan kerana dalam keadaan ekonomi hari ini, kita perlu mencatur wang perbelanjaan dengan betul supaya tidak mendongak langit apabila tibanya Aidilfitri.

Jimat selagi dapat dijimat, makan selagi dapat makan tetapi jangan sampai membazir.

BERITA LAIN

Langit terbuka

MELETUSNYA Semeru di Jawa Timur dua hari lepas melimpahkan lahar sejuk di persekitaran, membawa hujan dan banjir sekitar Lembangan Sungai Regoyo. Pemindahan melibatkan 32 keluarga sekadar

Kenangan raya terkurung, terkejut

JIKA ditanya mengenai tempoh paling menyeronokkan menyambut Hari Raya Aidilfitri, sudah pasti kebanyakan kita akan memilih zaman kanak-kanak. Apa tidaknya, ketika itu kita tidak perlu

Raya terakhir kami?

SEMALAM ibu sahabat saya pergi di depan mata. Saya di sana, saya melihat bagaimana anaknya cuba menyelamatkan ibu mereka hingga ke titik terakhir. Namun, apabila

Obesiti selepas raya

PASTI ada yang kembali buncit pada hari raya kesembilan (hari ini), malah ada yang lebih besar kebuncitannya. Ia berpunca daripada pengambilan makanan berlebihan sejak raya

Jangka hayat, kematian semakin dekat

ADAKAH anda bersedia untuk mati? Adakah anda bersedia untuk meninggalkan legasi? Sekurang-kurangnya mendidik atau mempersiapkan pengganti untuk syarikat, pertubuhan dan sebagainya, termasuk dalam urusan pentadbiran.

Rayakan sebulan

HARI ini hari ketujuh kita menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sik berasa, terutama bagi golongan muda. “Lom puas beraya, dah mula bersekolah.” Antara dialog yang kita

BERITA TERBARU

PDRM

Suspek kes amang seksual ditahan di Miri

SRI AMAN: Suspek lelaki dikehendaki polis yang disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan di kawasan tanah perkuburan lama, Kampung Kubal, Betong ditahan Jumaat

Pemancing udang jumpa mayat terapung

MIRI: Sembilan pemancing udang galah dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan tidak sempurna di Sungai Kuala Baram di sini, hari ini. Ekoran itu,