SELEPAS dua tahun beraya dalam sekatan pergerakan, ternyata kelonggaran yang dinikmati ketika peralihan ke fasa endemik melegakan banyak pihak, sekali gus menjadikan Aidilfitri yang dinanti, lebih meriah dan ceria.
Ini ditambah dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menegaskan tiada lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan di negara ini pada masa akan datang dalam berhadapan pandemik Covid-19.
Malah jaminan turut diberikan tiada sekatan perjalanan kepada seluruh umat Islam di negara ini untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Aidilfitri.
Malah tentunya ramai warga kota sudah berpusu-pusu pulang ke kampung agar berpeluang membantu persiapan hari raya bersama-sama keluarga masing-masing.
Seperti tradisinya sebelum Covid-19, setiap kali musim perayaan pastinya menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan berbanding hari-hari biasa.
Justeru, sebagai pengguna, kita perlu bijak merancang dengan teliti bagi memastikan perjalanan ke kampung lancar.
Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), dari Januari hingga September 2021, sebanyak 255,532 kes nahas di jalan raya telah direkodkan, yang turut melibatkan 3,302 kes kematian.
Sebanyak 418,237 kes nahas jalan raya telah direkodkan pada tahun 2020, dengan 4,634 kematian.
Sementara itu, sehingga September 2021, sebanyak 255,532 kes nahas jalan raya telah direkodkan, dengan 3,302 kes kematian.
Penurunan bilangan kematian akibat nahas jalan raya berlaku secara mendadak pada tahun 2020, berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Ia ekoran daripada pelaksanaan PKP, yang pada dasarnya telah mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan raya dan seterusnya menurunkan angka korban jalan raya.
Had pergerakan ekoran daripada pandemik Covid-19 di negara ini berjaya mengurangkan kadar kematian di jalan raya, bukan sahaja di Malaysia malahan juga di seluruh dunia.
Ketika itu sebahagian besar negara di dunia mencatatkan kadar penurunan kes kematian jalan raya, sehingga 20 peratus termasuk di negara kita, iaitu penurunan sebanyak 25 peratus bagi tahun 2020.
Berbeza pula dengan keadaannya pada hari ini apabila jumlah kenderaan dijangka terus meningkat menganggarkan jumlah trafik meningkat 25 peratus kepada dua juta kenderaan bermula 29 April hingga 9 Mei depan.
Sehubungan itu,pendekatan holistik yang merangkumi pelbagai aspek termasuk mengadaptasi teknologi perlu dilaksanakan bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan orang ramai.
Pada masa yang sama penyelenggaraan kenderaan juga perlu diberi keutamaan bagi meningkatan keselamatan, selain daripada pemakaian tali pinggang keledar keselamatan di tempat duduk hadapan dan belakang, serta kerusi keselamatan kanak-kanak.
Dalam keterujaan menyambut lebaran jangan alpa dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika pulang ke kampung walaupun kelonggaran diberikan selepas negara memasuki fasa peralihan ke endemik.
Malah segenap lapisan masyarakat perlu menyambut kelonggaran yang diberikan dengan sepenuh komitmen dan tanggungjawab.
