Jangan leka dalam usaha putuskan rantaian Covid-19

KUCHING: Masyarakat Sarawak tidak boleh leka dalam usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19, tegas Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurutnya, Sarawak sebelum ini dijadikan sebagai negeri contoh dalam mengekang penularan Covid-19 tetapi hanya dalam masa sepuluh hari iaitu bermula 8 Januari hingga hari ini peningkatan jumlah kes di negeri ini semakin meningkat.
“Ia melibatkan peningkatan kes positif yang tertinggi direkodkan dalam sehari iaitu 180 kes pada 14 Januari lalu.
“Penurunan kes yang direkodkan sebelum ini juga membuatkan kita terlalu yakin hingga terjadi perkara sedemikian,” katanya pada sidang harian perkembangan Covid-19 di Sarawak, hari ini.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menegaskan kejayaan Sarawak dalam mengekang penularan pandemik sebelum ini juga adalah disebabkan kerjasama dan pengorbanan masyarakat dalam aktiviti ekonomi, kehidupan sosial dan mempraktikkan norma baharu.
“Jadi saya harap semua pihak jangan leka, kerana Covid-19 ini menjangkiti tanpa mengenal siapa atau mengira darjat,” ujarnya.
Beliau juga menggesa agar seluruh rakyat Sarawak dapat membantu mengekang penularan pandemik ini dengan sedikit pengorbanan.
“Semakin cepat ia hilang, maka semakin cepat juga kita akan dapat menikmati kehidupan yang normal seperti sebelum ini,” jelansya.
Beliau juga mahu agar masyarakat mengambil ikhtibar daripada kes yang berlaku di luar Sarawak terutama sekali di Semenanjung yang kebanyakan kawasan dikategorikan zon merah.
“Meskipun terdapat beberapa bahagian dikategorikan sebagai zon merah di Sarawak tetapi kita masih belum terlambat.
“Tuhan memberikan kita masa untuk memerangi pandemik ini, memberikan kita masa untuk menukar zon merah dan kuning menjadi hijau manakala zon hijau kekal hijau,” katanya lagi.
Beliau memberitahu, Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dalam mengekang penularan pandemik Covid-19 ini.
“Oleh itu, rakyat perlu menyumbang kerjasama dalam menentukan kemenangan dalam peperangan ini.
“Saya percaya dan yakin dengan semangat ‘agi idup, agi ngelaban’ kita boleh meratakan lengkuk jangkitan Covid-19,” jelasnya lagi.

Suara Sarawak